Pelajar Geomatik PUO terokai ilmu falak di Baitul Hilal Segari

LUMUT – Seramai 35 orang pelajar Diploma Geomatik (DGU) dari Politeknik Ungku Omar (PUO) menjayakan aktiviti praktikal cerapan anak bulan bagi menentukan permulaan puasa tahun 1447H/2026M bertempat di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, di sini.

PUO dalam satu kenyataan memaklumkan ​aplikasi ‘Astronomi Lapangan’ secara realiti merupakan komponen penting dalam kursus Astronomi Lapangan.

Menurutnya, para pelajar diberi tunjuk ajar secara intensif mengenai teknik-teknik mencerap anak bulan yang tepat.

“​Pelajar telah mengaplikasikan kemahiran mengendalikan peralatan teknologi tinggi termasuk ‘​Total Station & Theodolite’ untuk menentukan kedudukan azimut dan altitud hilal.

​”Selain itu mereka turut mengendalikan ‘GPS Survey’ bagi mendapatkan koordinat lokasi cerapan yang jitu selari dengan data astronomi,” katanya.

Melalui bimbingan Sr Gs Mohd Zahiruddin Mohamed Na’aim dan pasukan, pelajar didedahkan kepada prosedur operasi standard (SOP) cerapan rasmi yang memerlukan disiplin dan ketepatan tinggi.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Ungku Omar, ​Dr. Hjh. Salmi binti Che’ Meh menzahirkan kebanggaan beliau terhadap dedikasi barisan pensyarah dan pelajar dalam mengintegrasikan teknologi ukur dengan tuntutan syarak.

​”Program cerapan ini bukan sekadar aktiviti luar kelas, tetapi merupakan makmal lapangan yang kritikal bagi pelajar Geomatik. Kehadiran pakar dan pasukan memastikan pelajar mendapat bimbingan langsung dalam bidang Geomatik.”

“Kami mahu graduan PUO bukan sahaja mahir dalam pemetaan bumi, malah kompeten dalam aspek astronomi yang memberi impak besar kepada komuniti dan negara,” ujar beliau.

Selaras dengan matlamat PUO dalam ​memperkasa kemahiran teknikal dan kerjasama strategik selain memenuhi keperluan akademik, program ini menjadi platform bagi memperkukuh kerjasama antara PUO dan agensi agama negeri dalam memperkasakan bidang falak di Malaysia

​Program ini diketuai Mohd Zahiruddin selaku Ketua Delegasi, bersama barisan pensyarah pengiring berpengalaman iaitu Sr Siti Kamisah Mohd Yusof; Sr Dr. Masreta Mohd @ Basri dan Mohd Omar Mohamed Hassan. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI