TELUK INTAN – Seorang pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan maut terkena sabit berhulu panjang yang dipercayai dibawa pekerja ladang sawit warga asing ketika menunggang motosikal bersama rakan di Kampung Selabak, di sini, pada pagi Isnin.
Mangsa yang dikenali sebagai Adham Faisal, 18, merupakan pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Semester Empat Agroindustri Ternakan Poltri.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, dalam kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian leher.
Katanya, seorang lagi rakan mangsa berusia 17 tahun yang membonceng motosikal itu cedera pada bahagian tangan dan kini sedang menerima rawatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa oleh seorang lelaki telah terkena pada bahagian leher mangsa ketika kedua-dua motosikal berada berhampiran antara satu sama lain di jalan raya.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh daripada motosikal sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini pada Isnin.
Bakri berkata, susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, pihak polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut termasuk sebilah sabit berhulu panjang dan sebuah motosikal.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu yang boleh mengganggu siasatan polis.
Kata beliau lagi, sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki maut, kereta dipandu terbabas, terbalik


