TELUK INTAN – Walau reda, namun jiwa seorang ibu bagai diruntun tatkala menerima perkhabaran anaknya, Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, antara dua yang maut dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand, pada Sabtu.
Noor Aishah Abdul Latif, 49, berkata, perkhabaran yang diterimanya pada jam 11 pagi itu amat meninggalkan kesan pada dirinya.
Menurutnya, anak kedua dari tiga beradik itu disifatkan sebagai seorang anak yang baik, penyayang dan sangat rapat dengan dirinya.
Katanya, walau dipisahkan beribu kilometer, Noor Aishah berkata dia sentiasa merasa dekat dengan Megat Ashman Aqif kerana anak yang mesra disapa dengan nama Aqif itu kerap membuat panggilan telefon dengannya.
“Kali terakhir berbual dalam masa sejam dengan Aqif pada Selasa minggu lepas. Dia maklumkan yang dia akan menjalani peperiksaan pada Khamis.
“Dalam perbualan itu, dia ada kata pada saya, ‘Ibu doa Aqif ya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Melayu Langkap, dekat sini, pada Ahad.
Noor Aishah memberitahu, Allahyarham Megat Ashman Aqif juga kerap mengirimkan wang kepadanya hasil bekerja sambilan di Christchurch ketika cuti semester.
Menurut suri rumah itu, dia baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran pada 12 Mac lalu manakala Megat Ashman Aqif meraikan hari lahir pada 8 Mac lepas.
“Aqif ada buat kejutan dengan menghadiahkan telekung kepada saya (melalui perkhidmatan syarikat penghantaran) sempena ulang tahun kelahiran saya lalu.
“Saya ada bercakap kepada dia, tak perlulah Aqif belikan telekung, sepatutnya Aqif simpan duit untuk keperluan di sana. Tetapi dia cakap ‘tak apa ibu, Aqif nak berkat doa ibu,” ujarnya.
Tambah Noor Aishah, kali terakhir bertemu dengan anaknya itu pada Julai tahun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika menghantarnya melanjutkan pelajaran dalam bidang perdagangan di Universiti Canterbury, New Zealand.
Berkongsi lanjut, Noor Aishah memberitahu, tiada perubahan dapat dilihat pada saat-saat akhir sebelum pemergian Megat Ashman Aqif.
Namun katanya, tindakan Megat Ashman Aqif yang ada berbual dengan abang sulungnya melalui WhatsApp baru-baru ini menimbulkan tanda tanya kerana Allahyarham tidak pernah berbuat begitu.
Dalam pada itu, Noor Aishah memberitahu, Allahyarham Megat Ashman Aqif sebelum ini ada memaklumkan bahawa dia mahu pulang bercuti ke Malaysia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Saya katakan kepada arwah bahawa tidak perlu dia pulang beraya kerana baru sahaja melanjutkan pelajaran di sana.
“Walau bagaimanapun, pemergiannya ini memang menyedihkan saya, kerana selama 21 tahun Allah pinjamkan saya ke dunia ini, malah dia pergi dalam bulan Ramadan ketika berpuasa,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam satu kenyataan memaklumkan dua pelajar Malaysia maut dalam nahas jalan raya pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan.
Menurut kenyataan itu, nahas berkenaan melibatkan lima penuntut Malaysia dan mangsa yang cedera diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands.
Pelajar yang meninggal dunia dikenali sabagai Megat Ashman Aqif dan Wan Nur Adlina Alisa yang kedua-duanya adalah penuntut University of Canterbury.
Mangsa yang cedera ialah Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, juga penuntut daripada universiti sama sementara Muhamad Faris Mohd Fairusham adalah penuntut Victoria University of Wellington. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPT sedia bantu keluarga pelajar maut dan cedera kemalangan di New Zealand