KUANTAN – Seorang pelajar lelaki sebuah universiti tempatan berusia 21 yang didakwa membuat hantaran jelik di media sosial menghina agama Islam telah direman selama empat hari sehingga 28 Februari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pelajar berkenaan sebelum itu datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bersama bapanya awal pagi tadi untuk membuat permohonan maaf di atas tindakannya itu.
“Mereka datang ke balai dengan tujuan memohon maaf kepada orang Islam dan bimbang akan keselamatan pelajar itu berkaitan hantaran yang telah dibuat di aplikasi Thread miliknya,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Beliau memaklumkan, lelaki itu kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
Ashari dalam masa sama menasihati orang ramai agar bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.
Terdahulu, tindakan seorang pengguna akaun bernama “Vikneswaran0102′ di laman Thread membuat naik hantaran gambar memijak Al-Quran dan kenyataan menghina Nabi Muhammad mencetuskan amarah dalam kalangan netizen di laman media sosial sejak malam tadi. – MalaysiaGazette


