IPOH – Seramai 80 pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) mengambil bahagian dalam Symposium on Manufacturing Engineering Technology and Supply Chain Management 2025 (SMETSCM 2025) yang berlangsung di Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, PUO di sini baru-baru ini.
Simposium ini disertai penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Pengurusan Rantaian Bekalan) dengan Kepujian (BMS), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PUO.
Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, simposium tersebut menjadi sebahagian daripada komponen penting dalam pelaksanaan Program Work-Based Learning (WBL).
“Ia bertujuan menyediakan platform kepada pelajar semester akhir untuk membentangkan hasil pembelajaran sepanjang tempoh WBL secara langsung di syarikat-syarikat terlibat.
“Antara pengisian utama program adalah pembentangan dan pameran projek akhir oleh pelajar, yang melibatkan pembangunan penyelesaian berkaitan kejuruteraan pembuatan atau pengurusan rantaian bekalan.
“Pembentangan portfolio bagi kursus Warehouse Management dan Logistics yang menekankan pengurusan gudang serta pengedaran logistik secara efisien,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PUO, Mohd Saiful Saleh memaklumkan, SMETSCM 2025 turut mendapat sokongan kukuh daripada syarikat-syarikat industri yang menjadi rakan strategik dalam pelaksanaan WBL.
“PUO ingin merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan mentor industri daripada syarikat-syarikat berikut atas kerjasama dan sokongan padu mereka dalam menjayakan program WBL.
“Antara mereka yang terlibat termasuklah Kamaya Electric (M) Sdn Bhd, Camfil Malaysia, Tasek Corporation Berhad, Yamaha Electronics Manufacturing (M) Sdn Bhd, MGV Industries Sdn Bhd dan WSA Venture Australia (M) Sdn Bhd,” jelasnya.
Beliau berkata, program WBL di PUO direka bagi melahirkan graduan yang berdaya saing, bersedia menghadapi cabaran industri dan berkemahiran tinggi.
“Melalui pendekatan ini, pelajar bukan sahaja mengukuhkan kefahaman teori dan teknikal dalam persekitaran sebenar, malah turut memantapkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan,” ujarnya.
SMETSCM 2025 bukan sahaja menjadi medan pembuktian keupayaan pelajar, malah mengukuhkan jaringan kerjasama strategik antara institusi akademik dan pihak industri.
Ia turut menyumbang ke arah pembangunan modal insan yang relevan dan berkualiti tinggi untuk sektor kejuruteraan pembuatan dan pengurusan rantaian bekalan di Malaysia. – MG Perak
Artikel Berkaitan;