KUALA LUMPUR – Lebih 100,000 pelajar tingkatan enam bagi sesi persekolahan 2025/2026 akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, BAP itu melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.
“Ini peluang yang sangat baik, BAP diberikan kepada pelajar tingkatan enam buat kali pertamanya dalam sejarah, dan kita mahu anak-anak ini terus bersemangat.
“Kita harap inisiatif untuk tingkatan enam akan dapat kita tambah baik lagi kerana tingkatan enam ini sangat penting, ia pasca-Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan khususnya untuk menjamin akses pendidikan kepada semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fadhlina, agihan BAP kepada pelajar tingkatan enam sedia ada akan dilaksanakan pada Februari 2025.
Manakala pelajar baharu pula pada Julai 2025.
“Peluasan pemberian BAP kepada pelajar tingkatan enam juga adalah cerminan keprihatinan kerajaan Madani untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam melakukan persediaan keperluan persekolahan,” tambahnya.
Inisiatif itu juga komitmen berterusan Kementerian Pendidikan untuk terus memperkasakan Pendidikan, selain menggalakkan pelajar memilih pendidikan tingkatan enam, selepas SPM. – MalaysiaGazette