TANJUNG MALIM – Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus dalam kejadian di Sungai Bernam dekat Taman Teratak, Ulu Bernam di sini pada Khamis.
Mangsa, Muhammad Afiq Aizar Muhd Shukri, 23, dipercayai lemas sewaktu melakukan aktiviti perkelahan bersama rakan-rakannya di sungai tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu sekitar jam 6.57 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden itu.
“Berdasarkan maklumat yang diterima dari orang awam, semasa kejadian terdapat tiga orang telah dihanyutkan arus dan dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, seorang lagi mangsa telah dihanyutkan arus dan lemas.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, mangsa telah dikeluarkan dari sungai dengan bantuan orang awam dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Ketua operasi melaksanakan penilaian situasi seterusnya mengarahkan anggota membuat pemeriksaan dan memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa sehingga ketibaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM yang berada di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya jam 9.12 malam,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki maut terjatuh ketika menjala ikan di tebing kolam miliknya


