IPOH – Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) kini sedang membangunkan pelan pengurusan menyeluruh bagi Geopark Lembah Kinta merangkumi aspek biologi, ekologi dan geologi dalam memastikan sumber warisan semula jadi ini dapat dipelihara dengan baik.
Pemangku Pengarah PTNP, Lau Ching Fong, berkata pelan pengurusan yang dijangka siap tahun depan akan menjadi panduan utama dalam aspek pemeliharaan, pemuliharaan serta pengurusan sumber-sumber berharga di kawasan geopark berkenaan.
“Jika kita mahu memelihara, memulihara dan mengurus sumber-sumber ini, kita perlu menentukan kaedah yang sesuai dari segi tadbir urus, pembangunan dan pendidikan.

“Jadi pelan pengurusan itu sedang dibangunkan dan dijangka siap tahun depan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Festival Komuniti Geopark Kinta dan Kita di Gunung Lang Community Park, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Sumber Mineral Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak, Mahat Sohon dan Penolong Pengarah Perancang Bandar Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahmad Hafif Shahraman.

Menurutnya, Geopark Lembah Kinta mempunyai pelbagai nilai penting dari segi arkeologi dan geologi termasuk penemuan lukisan gua menggunakan hematit berwarna merah serta fosil-fosil yang amat berharga.
“Beberapa tahun lalu, kita menemui fosil gigi Stegodon, iaitu satu spesies gajah purba yang telah pupus. Penemuan ini merupakan yang pertama di Malaysia dan amat penting untuk kajian perubahan iklim serta evolusi hidupan liar di rantau ini.
“Fosil gigi Stegodon yang sebelum ini disimpan di Universiti Malaya (UM) dibawa khas untuk dipamerkan kepada orang ramai pada festival hari ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai festival pada hari ini, Ching Fong berkata, selain pameran ilmiah, pelbagai aktiviti turut diadakan sempena festival itu termasuk silat, rock climbing, tunggangan kuda serta gerai pameran berkaitan industri makanan dan minuman, pelancongan serta kelestarian alam sekitar.
“Kita mahu memperkenalkan keunikan Lembah Kinta bukan sahaja dari aspek geologi dan alam semula jadi, tetapi juga sebagai satu identiti masyarakat Perak, khususnya warga Ipoh,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PTNP cadang wujudkan pusat interpretasi Geopark Lembah Kinta di Ipoh


