TANJUNG MALIM – Agenda dan pelan pembangunan jangka panjang Perak Sejahtera 2030 dirangka khusus bagi memastikan kesejahteraan generasi muda di negeri ini terus terjamin.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hasil daripada pelaksanaan projek mega yang dirancang, termasuk pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di sini, tidak akan dirasai dalam masa terdekat sebaliknya disediakan untuk manfaat anak muda pada masa depan.
“Projek seperti Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan AHTV mengambil masa panjang untuk dibangunkan dan direalisasikan.
“Oleh itu segala usaha yang dirancang kerajaan negeri melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 adalah untuk anak-anak Perak yang akan menjadi pemimpin dan tenaga kerja profesional pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Siswa Perak Sejahtera 2.0 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah.
Hampir 1,000 mahasiswa dari 31 institusi pengajian tinggi dan pendidikan tingkatan enam dari seluruh negara menyertai karnival yang berlangsung sejak Jumaat.
Saarani berkata, konsep “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera” perlu dihayati oleh setiap anak muda di negeri ini yang kelak akan mewarisi kepimpinan di negeri ini dalam pelbagai bidang.
Tegas beliau, di bawah agenda sama, kerajaan negeri mahu memastikan tidak lagi berlaku penghijrahan tenaga muda Perak ke negeri lain yang akhirnya menyebabkan negeri ini kekal menjadi negeri menua.
“Kalau kita biarkan, Perak akan jadi negeri orang tua-tua kerana anak-anak muda berpusu-pusu ke Pulau Pinang, Kedah, Perlis atau Selangor untuk mencari rezeki.
“Oleh sebab itu kita bersungguh-sungguh bangunkan pelbagai zon industri di negeri ini bagi membuka lebih peluang pekerjaan untuk diisi golongan muda.
“Kalau dulu orang di Parit terpaksa berhijrah ke Shah Alam untuk kerja di syarikat automotif, kini tidak perlu lagi. Datanglah ke Proton City dan cari pelbagai peluang pekerjaan sesuai yang ada di sini,” katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapan berasingan Khairudin berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong anak muda kerana mereka merupakan waris yang akan menyambung barisan kepimpinan negeri kelak.
“Apa yang diusahakan oleh kerajaan negeri pada hari ini, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk anak-anak muda Negeri Perak di masa akan datang,” kata beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Temasya Budaya@Negeri Perak pupuk minat seni kalangan generasi muda