Pelan strategik perniagaan keempat Lumut Port libat pelaburan RM550 juta

IPOH – Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (Lumut Port) adalah sebuah terminal pukal bersama dengan pembangunan kawasan perindustrian Lumut Port Industrial Park yang ditubuhkan sejak tiga dekad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Port, Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul berkata, penubuhan syarikat itu bertujuan bagi merancakkan aktiviti ekonomi Perak terutamanya bagi membantu industri perlombongan bagi tujuan eksport mineral negeri ini.

Menurutnya, tahun 2015 menjadi satu titik perubahan yang amat penting apabila Lumut Port mula melakukan perubahan yang dipacu menerusi tiga pelan strategik perniagaan bermula dari tahun 2016 hingga 2026 melibatkan perbelanjaan hampir RM400 juta dengan menggunakan 58 peratus dana sendiri dan mengurangkan dana daripada pinjaman bank.

“Alhamdulillah, Lumut Port berjaya melaksanakan kesemua pelan strategik perniagaan dan kini sedang merancang untuk pelan strategik perniagaan yang keempat merangkumi pelan untuk 20 tahun sehingga 2046 melibatkan pelaburan RM550 juta.

“Pelan strategik perniagaan keempat Lumut Port merangkumi pembesaran Lumut Port Terminal 1, menjadikan Lumut Port Terminal 2 sebagai salah satu terminal pengendali gas cecair asli di Malaysia; fasa pembangunan terminal ketiga dan proses memuktamadkan tapak bagi pembinaan terminal keempat Lumut Port yang sedang berlangsung.

Pelan strategik perniagaan keempat Lumut Port libat pelaburan RM550 juta
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bergambar pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (Lumut Port) di Galasa Caldwell, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 09 JANUARI 2026.

“Pelan baharu ini akan memberi penekanan kepada kepelbagaian perniagaan dengan tumpuan kepada kargo-kargo baharu termasuk minyak dan gas, serta pengembangan perniagaan berkaitan marin.

“Tempoh ini telah dan akan mengubah cara pemikiran, membentuk semula model perniagaan dan mentakrifkan semula hala tuju serta masa depan Lumut Port,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun ke-30 Lumut Port yang berlangsung di Galasa Caldwell di sini malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mubarak Ali turut memaklumkan, Lumut Port telah meningkat dengan signifikan dari segi kapasiti, produktiviti dan tahap mekanisasi.

Katanya, pertambahan kendalian kargo di Lumut Port Terminal 1 daripada tiga juta tan kepada 5 juta tan setahun iaitu peningkatan sebanyak 67 peratus.

Pelan strategik perniagaan keempat Lumut Port libat pelaburan RM550 juta
Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Port, Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (Lumut Port) di Galasa Caldwell, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 09 JANUARI 2026.

“Secara keseluruhan, keupayaan Lumut Port kini meningkat dengan rekod pengoperasian tahunan bagi 2025 sebanyak 18.63 juta tan termasuk operasi di Lekir Bulk Terminal dan operasi STS (ship to ship) di Selat Melaka,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Lumut Port Terminal 2 yang akan beroperasi pada suku ketiga tahun ini akan menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam sejarah perjalanan Lumut Port.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

LMT 2 bernilai RM282 juta dijangka beroperasi 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI