Pelarasan gaji penjawat awam Perak akan ikut Persekutuan

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan mengikuti langkah Kerajaan Persekutuan berhubung pelarasan gaji kepada semua penjawat awam negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, satu kaedah pelarasan gaji baharu akan dilaksanakan bagi memastikan tiada perbandingan atau jurang gaji antara penjawat awam negeri dengan Persekutuan.

“(Untuk kaedah pelaksanaan) kena tengoklah. (Tetapi) biasanya kita akan ikutlah (apa yang dilakukan di peringkat Persekutuan).

“(Dan untuk kaedahnya) kita ubah suai sedikit sebanyak. Akan tetapi kena ada kenaikan (pelarasan gaji) kerana Persekutuan sudah buat seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Pakej Kembara Mesra Muslim Sempena Tahun Melawat Perak 2024 di Restoran Mohd Chan Ipoh, pada Selasa.

Mengulas lanjut Saarani berkata, inisiatif itu bagaimanapun sudah pasti akan memberi implikasi kewangan negeri.

Namun jelas beliau, kerajaan negeri akan berusaha bagi memastikan pelarasan gaji penjawat awam itu dapat dilaksanakan.

“Sudah tentu akan ada (implikasi kewangan) dan mahu tak mahu kita kena carilah (sumber kewangan).

“(Akan tetapi) selama ni pun macam itu. Jadi insya-Allah ada rezeki orang masing-masing,” katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam persekutuan sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana, dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Beliau dilaporkan berkata pelaksanaan pemberian pelarasan gaji itu akan dilakukan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan 1 Januari 2026 untuk Fasa 2. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

SSPA : Penjawat awam boleh kira kadar gaji baharu minggu depan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI