Pelarian Rohingya mengaku warga Bangladesh – penduduk

TAPAH – Dua pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar dipercayai etnik Rohingya yang ditangkap penduduk Kampung Batu Melintang, awal pagi ini berada dalam kelaparan dan kehausan.

Ia selepas empat botol air mineral 500 milimeter (mm) bersama dua bungkus mee yang diberi penduduk kampung habis dalam sekelip mata.

Menceritakan detik kejadian Imam Masjid Al-Rahmaniah Kampung Batu Melintang, Razali Talib, 69, berkata, ketika kejadian dia sedang menunaikan solat sunat Subuh di masjid sebelum melihat kelibat dua remaja berkenaan.

Ujarnya, ketika ditanya identiti mereka, salah seorang warga asing berkenaan membalas bahawa mereka merupakan warganegara Bangladesh dan bekerja di sekitar kampung itu.

“Tetapi saya tahu bahawa dia menipu kerana kami sedia maklum mengenai tahanan Rohingya yang melarikan diri dari tahanan Imigresen di Bidor lalu saya meminta pada sahabat saya bekas polis untuk menelefon Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

“Saya juga melihat mereka daif sangat lalu bagi dua botol air, sekejap sahaja habis kemudian bagi lagi dua botol, rupanya mereka memang kelaparan dan lapar.

“Selepas selesai solat Subuh ada penduduk kampung sedekahkan dua bungkus mee goreng namun salah seorang daripada mereka meminta maggi (mee segera) namun tiada,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Rahmaniah Kampung Batu Melintang, di sini pada Sabtu.

Imam Masjid, Razali Talib, 69, menceritakan kembali menemui warga asing dari Myammar etnik Rohingya yang merusuh dan meloloskan diri dari Blok Lelaki Depot Imigresen Sementara Bidor, Tapah, Khamis lalu, di Masjid Ar-Rahmaniah, Kampung Batu Melintang, Tapah. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 FEBRUARI 2024.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh pada sidang media pagi tadi memaklumkan dua lagi PATI warga Myanmar etnik Rohingya berjaya ditahan selepas memasuki kawasan penduduk di Tapah.

Beliau berkata, dua tahanan ditangkap lebih kurang jam 7.00 pagi selepas mereka datang ke masjid untuk meminta air daripada kariah Masjid Al-Rahmaniah Kampung Batu Melintang.

Ruslin juga berkata, semua tahanan yang dipercayai bergerak secara berkumpulan sudah mula berpecah namun masih berada dalam radius pencarian pihak berkuasa melibatkan polis, JIM, dan lain-lain agensi.

“Mereka juga sudah mula keluar sebab ada keperluan untuk mendapatkan bantuan makanan dan minuman, kita tengok perkembangan ini semakin bagus.

MG Perak pada Khamis melaporkan seramai 131 pendatang tanpa izin (PATI) bertindak melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu dan seorang daripada mereka dilaporkan maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 335 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara). -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Polis sahkan 131 warga asing, termasuk Rohingya lolos dari depot Imigresen

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI