Pelepasan ikan asing boleh beri impak negatif kepada ekonomi

IPOH – Pelepasan ikan asing boleh memberi impak negatif kepada ekonomi komuniti setempat, terutamanya pengusaha perikanan dan pelancongan berasaskan alam semula jadi jika berterusan dalam jangka masa panjang.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, pelepasan spesies ikan asing seperti baung ekor merah, redtail catfish, peacock bass dan bandaraya turut memberi kesan buruk terhadap keseimbangan ekologi sungai di negeri ini.

“Kerajaan negeri memandang serius isu pencemaran sungai serta gangguan terhadap ekosistem semula jadi perairan termasuk sungai, tasik, kolam dan bekas lombong akibat tindakan tidak bertanggungjawab melepaskan ikan spesies asing.

“Spesies ikan ini sering kali mengubah struktur dasar dan tebing kolam serta mengganggu habitat semula jadi.

“Selain itu, ia boleh mengancam populasi ikan asli yang merupakan sebahagian penting daripada keseimbangan biodiversiti tempatan,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Aktiviti Pembersihan Sungai Sempena Program Grand Prix Memburu Ikan Asing Siri 1/2025 Negeri Perak di Dataran Taman D R Seenivasagam di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap.

Teh berkata, kehadiran spesies ikan asing bukan sahaja merosakkan ekosistem sensitif, malah berisiko menyebarkan penyakit dan boleh menyebabkan kepupusan spesies tempatan.

Susulan itu, beliau menyeru supaya masyarakat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara kebersihan sungai dan tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan ekosistem, terutamanya pelepasan ikan asing tanpa kawalan.

“Sebarang aktiviti pelepasan ikan ke perairan umum hendaklah dirujuk ke Jabatan Perikanan Perak,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan melepaskan spesies ikan asing boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985 serta peraturan-peraturan yang berkaitan.

“Pemeliharaan sungai memerlukan kerjasama semua pihak daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti tempatan, hingga ke peringkat individu. Setiap tindakan kita hari ini menentukan warisan alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bangkai ikan di Sungai Kinta disyaki dibuang dari kolam ternakan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI