Peluncuran Pelan Induk KIGIP perlihat sinergi PM, MB Perak

MAJLIS Peluncuran Pelan Induk Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperlihatkan sinergi di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Perak.

Malah perkembangan positif ini jelas membuktikan kesungguhan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama Perdana Menteri dalam merealisasikan pembangunan perindustrian yang membawa limpahan ekonomi di utara Perak selepas ia diumumkan dalam Belanjawan 2024, Oktober tahun lalu.

Pembangunan KIGIP yang terletak di daerah Kerian itu juga bakal mencipta sejarah apabila seluruh kawasannya yang bermula dengan keluasan 404.6 hektar akan menggunakan teknologi hijau bagi penjanaan tenaga.

Penyediaan Pelan Induk KIGIP yang sedang disiapkan menerusi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perak, SD Guthrie Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) memberi gambaran ia merupakan sebuah projek taman perindustrian yang akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama.

KIGIP bukan sahaja berpotensi menjana aktiviti ekonomi malah mewujudkan peluang pekerjaan mahir dan menarik pelaburan berkualiti, terutama dalam sektor seperti elektrikal dan elektronik termasuk semikonduktor, logistik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta industri berasaskan pengetahuan.

Anwar Ibrahim dan Saarani Mohamad.

Selain Zon Perindustrian Utama dengan keluasan 404.6 hektar yang turut dilengkapi premis dan infrastruktur bagi kegunaan industri dan komersial termasuk kawasan perumahan dan persekitaran hijau, KIGIP turut merangkumi ladang solar seluas 267 hektar yang berupaya membekalkan sumber tenaga hijau.

Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, sinergi di antara kerajaan negeri dan pembuat dasar utama seperti Perdana Menteri boleh diterjemah melalui pertumbuhan berfasa KIGIP.

Beliau berkata, fasa awal pembinaan KIGIP amat kritikal dan memerlukan sokongan daripada pemegang taruh sama ada pemain industri mahupun pembuat dasar utama iaitu Perdana Menteri bagi Kerajaan Persekutuan dan Menteri Besar bagi Kerajaan Negeri Perak.

Jelas beliau lagi, pembinaan KIGIP perlu dilaksanakan dengan pantas memandangkan ia berperanan sebagai model taman perindustrian berasaskan teknologi hijau di negara selain perlu selari dengan beberapa pelan utama yang dilancarkan sebelum ini.

“Pembinaan KIGIP perlu selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 memandangkan tempoh peralihan tenaga memberi tekanan kepada negara.

Muhammad Ridhuan Bos Abdullah.

“Tujahan dalam NETR dan NIMP 2030 perlu diberi penekanan agar selari dengan objektif dan misi KIGIP itu sendiri memadangkan asas industri Elektrik dan Elektronik (E&E) serta sokongan rantaian industri sudah wujud di Perak,” katanya.

Iklim pelaburan, insentif kompetitif tarik potensi pelabur baharu

Mengulas lanjut, Ridhuan Bos berkata, iklim pelaburan dan insentif yang kompetitif berupaya membantu menarik potensi pelabur baharu untuk membuka perniagaan di KIGIP selepas peluncuran pelan induk serta pecah tanah taman perindustrian berkenaan.

Ujar beliau, persaingan dengan negara-negara jiran yang sedang meningkatkan kelebihan daya saing dan berusaha menarik pelabur dengan iklim pelaburan yang kompetitif wajar diberi perhatian.

“Justeru seperti yang saya cadangkan sebelum ini, Keerajaan Negeri Perak perlu membuat lawatan dagangan ke beberapa negara-negara jiran.

“Pada tahap ini juga, sinergi antara Kerajaan Perak dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITi) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) amat kritikal,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat pameran ketika hadir pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) di Dewan Dato Zainal Abidin Zin, Bagan Serai. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 JUN 2024.

Ditanya mengenai pembinaan kemudahan baharu atau menaik taraf kemudahan sedia ada selari dengan pembinaan KIGIP, Ridhuan Bos berkata, ia memerlukan infrastruktur yang dinamik terutamanya dalam teknologi hijau.

Bagaimanapun beliau berkata, pembinaan infrastruktur teknologi hijau serta peralihan tenaga mungkin memerlukan peruntukkan tinggi untuk Kerajaan Negeri Perak memandangkan pelaburan yang mampan akan mengupayakan misi KIGIP.

Saarani dalam ucapannya semasa Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP memohon pembinaan susur keluar baharu dari taman perindustrian hijau berkenaan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi melengkapkan ekosistem pengangkutan serta memendekkan jarak perjalanan kurang 10 minit.

Perdana Menteri kemudiannya meluluskan peruntukan awal berjumlah RM60 juta bagi pembinaan laluan jalan raya susur keluar baharu antara PLUS dan kawasan di KIGIP. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

KIGIP mampu jadi hub semikonduktor negara pacu ekonomi Perak

KIGIP pelengkap ekosistem perindustrian di Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI