IPOH – Kelemahan penguasaan bahasa asing dalam kalangan pemain industri pelancongan merupakan antara faktor menjejaskan usaha Perak bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong luar ke negeri ini.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, walaupun Bahasa Kebangsaan wajib dimartabatkan, namun keperluan menguasai bahasa asing tidak boleh dipandang ringan.
Katanya, ia penting dalam memastikan keselesaan dan kefahaman pelancong antarabangsa ketika berkunjung ke negeri ini dapat terus dipertingkatkan.
“Penguasaan bahasa merupakan aspek yang sangat penting dalam sektor pelancongan.
“Sama ada pegawai kita yang terlibat dalam usaha promosi pelancongan ke luar negara atau ketika berhadapan dengan pelancong ketika di sini, keupayaan berbahasa asing masih menjadi kekangan.
“Oleh itu penguasaan bahasa asing terutama yang difahami di rantau ASEAN ini penting, agar membantu memahami pelancong terhadap sebarang maklumat berkaitan pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chaw Kam Foon (PH-Menglembu) ketika Sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut Sze Yee turut mencadangkan agar penggunaan kod QR yang menterjemahkan semua papan tanda atau informasi pelancongan di negeri ini kepada bahasa asing dapat terus diperluaskan.
“Kod QR ini penting kerana ia membolehkan pelancong mengimbas dan terus mendapat akses kepada maklumat digital dalam pelbagai bahasa. Kaedah ini lebih praktikal untuk kita perluaskan maklumat kepada pasaran antarabangsa,” katanya lagi.
Pada masa sama, Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik) berpandangan isu bahasa tidak seharusnya dijadikan alasan kepada kelemahan sektor pelancongan antarabangsa.
Mengambil contoh di Thailand, beliau berkata, meskipun sebahagian besar pemain industri di sana masih lemah dalam penguasaan bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, namun Negara Gajah Putih itu sentiasa menerima kunjungan pelancong luar.
“Kita perlu lihat kepada perkara yang lebih besar seperti masalah pengangkutan seperti yang melibatkan penerbangan, jaringan kereta api serta kekerapan acara tahunan negeri,” ujarnya.
Sze Yee berkata, kerajaan negeri semenangnya telah mengadakan pelbagai acara tahunan sebagai usaha menggamit lebih ramai kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara ke Perak.
Malah kata beliau, Perak juga telah merangka pelbagai strategi untuk meningkatkan sektor pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kerajaan negeri turut merancang untuk mengaktifkan semula beberapa pakej pelancongan ikonik seperti Jejak Masjid Negeri Perak, War Trail dan Bikers Trails.
“Selain itu, turut diadakan pelbagai acara antarabangsa seperti Lenggong Outdoor Festival, Rimba Raid, Kampar River Fest, Taiping Bird Week, Malaysia Ultra Trail dan Fiesta Ikan Loma yang memberi impak terhadap peningkatan kehadiran pelancong Perak,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelancongan Kuala Kangsar: Perak salur hampir RM2 juta, termasuk laluan berbasikal


