TAPAH – Seorang pemandu bas cedera manakala 12 yang lain selamat dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dua tingkat dan sebuah lori tunda di Kilometer 311.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara awal pagi Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 1.28 pagi.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dan Gopeng kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian didapati pemandu bas, lelaki berusia 29 tahun tersepit di tempat duduknya.
Bagaimanapun, pembantu pemandu dan sembilan penumpang tidak mengalami kecederaan.
“Pemandu dan kelindan lori tunda juga terselamat dalam kemalangan tersebut.
“Ketua operasi segera menjalankan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER atau Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap dan mengarahkan anggota untuk menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa terbabit yang mengalami kecederaan pada kaki kanan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi terkawal pada 2.15 pagi dan tamat jam 2.23 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
15 pelajar UPSI maut kemalangan dekat Tasik Banding