IPOH – Pemandu bas yang tular di media sosial selepas disyaki mengendalikan kenderaan itu dengan memangku wanita di atas riba telah ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa dengan serta-merta.
Syarikat pengendali bas ekspres, Sri Maju Group dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah membuat laporan polis terhadap pemandu berkenaan susulan perkara itu.
Katanya, insiden yang tular itu juga telah dilaporkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di samping sedang memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa terhadap siasatan yang dijalankan.
“Kami dengan ini memohon maaf dengan setulus-tulusnya dan tanpa sebarang syarat kepada semua penumpang yang terlibat serta kepada orang awam.
“Setiap pengguna perkhidmatan awam berhak menerima perkhidmatan yang selamat, bertanggungjawab, dan profesional pada setiap masa.
“Kami sama sekali tidak bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh membahayakan keselamatan dan nyawa para penumpang kami,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Tambah kenyataan itu, berdasarkan hasil siasatan mendapati insiden itu berlaku ketika salah satu bas ekspres syarikat terbabit sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur ke Larkin di Johor Bahru, pada 12 April.
Mengulas lanjut, pihak Sri Maju Group menzahirkan rasa rasa kecewa selain memaklumkan tingkah laku pemandu bas dalam video tular tersebut adalah pelanggaran serius terhadap prosedur operasi standard syarikat.
Tegasnya, ia juga turut bercanggah dengan tata etika profesional yang telah tetapkan syarikat bagi semua pemandu.
“Keselamatan serta keselesaan para penumpang sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami. Selama ini, kami sentiasa berusaha untuk memperoleh dan mengekalkan kepercayaan serta sokongan pelanggan kami yang dihargai.
“Namun demikian, kami amat kesal bahawa walaupun pelbagai langkah pencegahan dan pemantauan telah dilaksanakan, insiden seperti ini masih boleh berlaku,” ujarnya.
Tambahnya antara tindakan lain yang telah diambil termasuk kepada pelaksanaan terhadap penambahbaikkan ke atas sistem pengawasan video pemandu di dalam bas.
“Sistem pengawasan video bagi pemandu dan di dalam bas telah dipasang pada bas-bas baharu kami. Bagi bas-bas sedia ada yang belum dilengkapi dengan sistem tersebut, kerja-kerja pemasangan sedang dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya lagi.
Sri Maju Group turut menegaskan bahawa mereka sama sekali tidak bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh membahayakan keselamatan dan nyawa para penumpang kami.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan akan mengambil segala langkah yang perlu serta sewajarnya bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.
“Kami kekal komited sepenuhnya terhadap keselamatan, keselesaan, dan kepercayaan setiap penumpang yang menggunakan perkhidmatan kami,” jelasnya.
Terdahulu tular di media sosial video berdurasi sekitar sembilan saat memaparkan seorang wanita dilihat memegang stereng sambil duduk di riba pemandu ketika bas sedang bergerak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


