TANJUNG MALIM – Pemandu serta kelindan cedera apabila lori yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik dalam nahas di Kilometer 368.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Slim River, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.59 tengah malam.
Menurutnya, sepasukan sembilan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Ketika tiba di lokasi didapati sebuah lori satu tan jenis Hino yang membawa muatan makanan sejuk beku terlibat dalam kemalangan.
“Pemandu lori warga tempatan berusia 20-an ditemui dalam keadaan tersepit manakala seorang lagi mangsa iaitu kelindan lori warga Bangladesh hanya mengalami kecederaan ringan.
“Tindakan operasi adalah membuat penyelamatan mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan hidraulik.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan mengalami kecederaan di bahagian tangan dan siku,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.35 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: