TANJUNG MALIM – Seorang lelaki cedera selepas lori lima tan muatan makanan lembu dipandunya terbabas dan terbalik dalam nahas di Kilometer 366.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar jam 6.10 pagi.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan, anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dibantu BBP Bidor digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati sebuah lori lima tan muatan makanan lembu terbabas di tepi jalan dan terbalik mengakibatkan lorong kiri lebuh raya terhalang.
“Terdapat seorang lelaki berusia 26 tahun tersepit pada bahagian tangan di pintu sebelah pemandu manakala dua lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ketua operasi mengarahkan anggota menggunakan peralatan peralatan menyelamat untuk membuat regangan di bahagian kepala lori dan mengeluarkan mangsa dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya jam 7.13 pagi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Anggota polis hilang ketika bermandi manda bersama rakan ditemui lemas