SUNGAI SIPUT – Seorang pemandu lori didenda RM8,000 di Mahkamah Majistret Sungai Siput, pada Isnin atas pertuduhan memindahkan 18 ekor lembu ternakan tanpa kebenaran di Kuala Kangsar, pada Mei lalu.
Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fauzan Razali, 27, yang juga selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan penjara lapan bulan sekiranya OKS gagal membayarnya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memindahkan 18 ekor lembu menggunakan lori jenis Hino tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya.
Kesalahan itu dilakukan di jalan kilometer (km) 42 Jalan Kuala Kangsar – Ipoh, dalam daerah Kuala Kangsar pada jam 2 pagi, 3 Mei 2025.
Tertuduh didakwa di bawah Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi Negeri Perak 2008 yang dibuat di bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) Akta Binatang (pindaan) 2013 (Akta A1452) yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM15,000.
Peguam Muhammad Zaem Ab Aziz yang mewakili tertuduh merayu kepada mahkamah supaya mengenakan denda minimal kerana tertuduh perlu menanggung isteri, anak kecil dan ibu bapa dengan pendapatan antara RM1,500 sehingga RM1,700.

Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fauzan Razali, 27, yang juga selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 NOVEMBER 2025.
Beliau juga merayu agar lori yang digunakan dalam kes dapat dikembalikan kepada pemilik asal manakala hasil jualan lembu berjumlah RM43,200 pula dapat dikembalikan separuh kepada OKS.
“Tertuduh telah mengaku salah dan berjanji agar tidak mengulanginya lagi pada hari mendatang.
“Selain itu dalam kes ini, kesalahan yang dilakukan tertuduh tidak serius kerana tidak menyebabkan sebarang kecederaan mana-mana orang. Di samping itu, kesemua haiwan yang dipindahkan tidak menunjukkan gejala penyakit berjangkit,” katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin berkata, hukuman sewajarnya perlu dikenakan terhadap OKS kerana kesalahannya bukan perkara remeh sebaliknya ia melibatkan soal kepentingan keselamatan dan kesihatan awam.
Jelas beliau, tindakan lelaki itu boleh menyebabkan penularan penyakit bawaan haiwan atau zoonotik, membabitkan soal keselamatan industri ternakan serta ekonomi negara.
Nazratul Natrah kemudian menetapkan hukuman denda RM8,000 kepada tertuduh, selain memerintahkan agar hasil jualan lembu dilucut hak kepada kerajaan Malaysia, serta lori diserahkan kembali kepada pemilik asal. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemandu lori mengaku salah pindah lebih 300 kambing, biri-biri tanpa kebenaran


