MANJUNG – Seorang lelaki maut selepas lori muatan hampas sawit yang dipandunya terbabas dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kereta pacuan empat roda di Ladang Lekir Kampung Batu 12 Lekir, Sitiawan, dekat sini, pada Jumaat.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 11.50 pagi.
Katanya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang berada di lokasi mendapati kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Pemandu lori terbabit yang berusia 25 tahun didapati tersepit dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Shazlean berkata, sementara itu, pemandu kenderaan Toyota Hilux didapati terselamat dalam kemalangan jalan raya terbabit.
Katanya, pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan hidraulik bagi membawa keluar mangsa maut daripada bangkai kenderaan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Awa Suziana Abd Wahid itu tamat pada jam 2.03 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki Nepal maut tersepit dalam mesin pengisar


