PARIT – Seorang pemandu lori muatan simen maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan, di kilometer (km) 47 Jalan Ipoh-Lumut, Bota, dekat sini pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar 11.15 malam itu, pemandu berusia 32 tahun berkenaan disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa lori jenis Mercedes Benz yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Seri Iskandar menuju Gelung Pepuyu.
Katanya, apabila tiba di lokasi, lori muatan simen itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lagi lori muatan kertas kitar semula yang diletakkan di bahu jalan.
Menurut beliau, pelanggaran itu kemudian mengakibatkan muatan kertas kitar semula itu kemudiannya melanggar bahagian belakang sebuah kereta Toyota Vios yang juga diletakkan di situ.
“Akibat perlanggaran tersebut lori muatan simen itu telah meluncur ke depan lebih kurang 100 meter sebelum merempuh bahagian garaj sebuah rumah di kiri jalan tersebut.
“Dalam kemalangan itu, pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Hafezul Helmi, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan pelbagai kecederaan akibat kemalangan jalan raya atau ‘polytrauma injury secondary to motor vehicle accident’.
Jelas beliau lagi, kes kemalangan itu masih dalam siasatan pihak polis mengikut Seksyen 41(1) Aakta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu diminta untuk tampil memberi maklumat kepada Pegawai Penyisat Polis Perak Tengah, Inspektor M Maheswaran di talian di talian 010-7005051 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Polis Perak Tengah menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan berhemah dalam pemanduan.
“Patuhi peraturan jalanraya dan elakkan memandu dalam keadaan terburu-buru, serta sentiasa peka semasa mengendali sebarang kenderaan ketika berada di atas jalanraya,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: