Pemandu lori tendang isteri, pukul anak, dipenjara 12 bulan

PARIT BUNTAR – Seorang pemandu lori terpaksa beraya tahun ini di penjara selepas mengaku bersalah menendang isteri dan menghentak anak perempuannya hanya kerana mereka mahu berbuka puasa di rumah mentua, minggu lalu.

Hukuman penjara selama 12 bulan dikenakan terhadap tertuduh, Muhammad Devan Abdullah, 33, selepas mengaku bersalah bagi dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi, di Mahkamah Majistret Parit Buntar pada Rabu.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lapan anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 41 tahun hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan lebam di pipi kiri, sakit di leher dan dada.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Abdul Raof, Parit Buntar pada jam 2.30 petang, 8 Mac 2025.

Selain itu, tertuduh juga didakwa menyebabkan kecederaan ke atas anak perempuannya yang berusia 10 tahun hingga mengalami lebam di pipi kiri dan kepala di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat ke atas lelaki itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Ruhan ‘Imran Abdul Halim.

Ketika prosiding, Amirah Nabihan memohon hukuman setimpal dikenakan tertuduh selepas mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa serta lokasi kejadian tersebut berlaku iaitu di rumah mereka.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa tertuduh dalam kes itu juga pernah disabitkan bagi kesalahan sama pada tahun 2019.

“Turut perlu diambil kira bahawa kes ini mempunyai kepentingan awam kerana ia berkait dengan isu keganasan rumah tangga,” kata beliau.

Sementara itu, Muhammad Ruhan ‘Imran memohon hukuman penjara paling minimum dikenakan atas alasan tertuduh perlu menanggung isteri dan lapan anak dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,800.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara 12 bulan bagi kedua-dua pertuduhan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 8 Mac lalu.

Berdasarkan kepada fakta kes, berlaku pertengkaran mulut yang mana tertuduh telah memarahi isterinya yang mahu berbuka puasa di rumah ibunya di Bagan Serai, pada tarikh berkenaan.

Lelaki itu bertindak menendang pengadu pada bahagian dada dan memukulnya dengan menggunakan penyodok sampah pada bahagian muka.

Sementara pada anak perempuannya, baju dicekak sebelum dihentak jatuh ke atas lantai dan mengetuk kepala kanak-kanak itu beberapa kali.

Akibat daripada insiden itu, mangsa mengalami lebam pada bahagian muka serta sakit di dada, manakala anak perempuannya pula mengalami bengkak pada kepala dan luka di muka. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Wanita pukul kanak-kanak sudah ditahan polis – Nancy

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI