Pemandu mabuk ditahan selepas langgar sepasang suami isteri

IPOH – Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) ditahan polis selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan melanggar sepasang suami isteri yang menaiki motosikal dalam kejadian di lampu isyarat persimpangan Jalan Ashman Shah, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, lelaki berusia 44 tahun yang memandu MPV jenis itu bertindak melanggar motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri sehingga mereka terjatuh di atas jalan raya.

Menurutnya, suspek turut melanggar sebuah lagi kereta sewaktu mengundurkan kenderannya sebelum membuat pusingan ‘U’ dan masuk ke Jalan Kamaruddin Isa.

“Pemandu MPV terbabit hilang kawalan selepas melanggar penghadang batu di Jalan Sybil Kathigasu. Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal cedera ringan manakala suspek serta pemandu sebuah lagi kenderaan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa cedera masing-masing berusia 27 dan 32 tahun itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam perkembangan sama, Abang Zainal Abidin berkata, hasil ujian penafasan ke atas suspek mendapati kadar alkohol dalam badannya melebihi had yang ditetapkan.

“Selain itu, semakan rekod pemandu MPV itu mendapati terdapat 20 rekod saman trafik termasuk empat kesalahan kemalangan manakala semakan rekod kenderaan yang dipandu mempunyai tiga rekod saman terkumpul.

“Kes disiasat di bawah seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan,” ujarnya.

Justeru, beliau meminta orang awam yang menyaksikan kemalangan ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Inspektor Edwin Tang Chiew Song, di talian 016-550 6863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tayar lori pecah punca kemalangan maut babit tiga buah lori

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI