Treler muatan gula miliki dua rekod lampau saman trafik

IPOH – Treler muatan gula yang terbabit dalam kemalangan tujuh kenderaan di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (hala utara) pagi tadi mempunyai dua rekod lampau saman trafik polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pemandu treler jenis Hino itu bagaimanapun maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan tersebut berpunca daripada pemandu treler jenis Hino telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan serta bertembung dengan sebuah treler jenis Volvo yang bermuatan gelung besi.

Menurutnya, selain dua treler tersebut lima kenderaan lain turut terlibat kemalangan di laluan yang sama.

“Kedua-dua pemandu treler terbabit meninggal dunia dan mereka juga didapati tidak membawa kelindan manakala seorang mangsa dari sebuah kenderaan kereta mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan itu, kita menyeru orang ramai yang telah menyaksikan kejadian tersebut supaya berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Ipoh Deputi Superintendan, Koo Boon Kuat di talian 016-417 3222 untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Selain itu, Yahaya turut menasihatkan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan serta menggunakan laluan alternatif yang lain agar tidak terjebak dengan kesesakan lalu lintas.

Difahamkan, seramai 13 mangsa berusia antara tujuh hingga 65 tahun terlibat dalam kemalangan tersebut.

Pemandu treler muatan gula yang maut itu ditemui dalam keadaan badannya berkecai dan melekat pada rangka dipercayai lori terbabit.– MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dua maut, seorang cedera kemalangan babit tujuh kenderaan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI