TAIPING – Seorang wanita tersepit selepas kereta yang dipandunya merempuh palang pembahagi jalan sebelum terbalik di kilometer (km) 238.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Kampung Bukit Gantang, dekat sini, pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan jalan raya itu pada jam 10.23 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan Taiping diatur gerak ke lokasi kejadian.
Sabarodzi berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati mangsa berusia 32 tahun yang tersepit di kerusi pemandu mengalami cedera parah akibat daripada kemalangan terbabit.
“Pasukan bomba melaksanakan kerja-kerja menyelamat mangsa daripada bangkai kenderaan dengan mengaplikasikan konsep SAVER atau Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap.
“Peralatan pemotong hidraulik digunakan sehingga pasukan bomba berjaya membawa keluar wanita terbabit daripada kereta jenis Perodua Aruz yang terbalik itu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Menurut beliau, mangsa yang cedera itu kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tindakan dan rawatan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1, Muhamad Mahir Mat Saad itu tamat sepenuhnya pada jam 1134. – MG Perak
Artikel Berkaitan: