Pembangunan Gaza: Mapim tolak pandangan Rafidah, isu kemanusiaan tidak kenal sempadan

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) membidas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung kenyataannya agar Malaysia memberi keutamaan kepada menyelesaikan masalah dalam negara sebelum membantu membina semula Gaza.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, pendapat seperti itu telah menimbulkan perdebatan kerana ia menyentuh soal keutamaan negara dalam membantu umat Islam di peringkat antarabangsa, khususnya di Palestin.

Katanya, beliau menolak pandangan Rafidah dengan hujah, isu kemanusiaan tidak mengenal sempadan, malah krisis di Gaza bukan sekadar isu politik tetapi, tragedi kemanusiaan yang memerlukan solidariti global.

“Malaysia, sebagai negara yang mendukung hak asasi manusia dan perpaduan umat Islam, mempunyai tanggungjawab moral untuk membantu rakyat Palestin yang menderita akibat penindasan dan peperangan.

“Membantu Gaza tidak bererti mengabaikan masalah tempatan, sebaliknya Malaysia telah lama mengimbangi usaha menangani masalah domestik dan bantuan luar.

“Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berjaya menjalankan pelbagai inisiatif kebajikan dalam negara, sambil tetap menghulurkan bantuan kepada negara lain dalam krisis seperti ketika pandemik Covid-19 yang mana Malaysia masih mampu membantu negara lain melalui misi kemanusiaan tanpa mengabaikan kebajikan rakyatnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Azmi, Malaysia mempunyai reputasi sebagai negara yang lantang memperjuangkan hak Palestin dan mengurangkan sokongan kepada Gaza boleh melemahkan pengaruh diplomatik Malaysia di peringkat antarabangsa dan menjejaskan hubungan dengan negara-negara Islam lain.

Jelas beliau, walaupun masalah ekonomi dan sosial dalam negara perlu diberi perhatian, Malaysia juga perlu mempertahankan prinsip solidariti umat Islam sejagat.

Ini kerana katanya, bantuan kepada Gaza bukan hanya soal kewangan tetapi, juga membuktikan komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Bantuan kepada Gaza tidak semestinya datang daripada dana kerajaan sahaja tetapi, banyak NGO dan individu bersedia menyumbang secara sukarela.

“Justeru, usaha membantu Gaza tidak akan membebankan ekonomi negara jika dilakukan melalui saluran yang betul.

“Walaupun penting untuk memberi perhatian kepada masalah dalam negara, Malaysia tetap mempunyai kapasiti untuk membantu Gaza secara serentak.

“Prinsip kemanusiaan, tanggungjawab diplomatik dan solidariti umat Islam adalah nilai yang perlu dijunjung. Oleh itu, bantuan kepada Gaza harus diteruskan tanpa mengabaikan kepentingan rakyat Malaysia,” tegasnya.

Mengulas mengenai pendapat Rafidah bahawa Malaysia perlu memberi tumpuan kepada membaiki keadaan sekolah luar bandar yang masih dalam keadaan menyedihkan sebelum membantu membina semula Gaza, Mohd Azmi berpadangan, walaupun sekolah luar bandar di Malaysia masih menghadapi cabaran seperti kekurangan infrastruktur dan kemudahan, keadaan ini masih jauh lebih baik berbanding di Gaza, yang mana kebanyakan sekolah telah hancur akibat serangan berterusan.

Di Malaysia kata beliau, pelajar masih mempunyai akses kepada bangunan sekolah, guru dan kemudahan asas. Sebaliknya, di Gaza, banyak sekolah telah musnah sepenuhnya menyebabkan ribuan pelajar kehilangan tempat belajar dan pendidikan mereka terhenti.

Katanya, Malaysia masih mempunyai sistem pendidikan yang berfungsi, manakala di Gaza, pendidikan lumpuh akibat peperangan dan sekatan ekonomi.

“Oleh itu, hujah bahawa Malaysia perlu menyelesaikan masalah sekolah luar bandar terlebih dahulu sebelum membantu Gaza kurang tepat kerana kedua-dua situasi berbeza dari segi tahap kemusnahan dan keperluan mendesak,” katanya.

Mohd Azmi berkata, memberikan bantuan kepada Gaza tidak bermakna mengabaikan pendidikan dalam negara kerana kerajaan Malaysia mempunyai bajet tahunan yang diperuntukkan khusus untuk pembangunan pendidikan.

Tambahnya, Malaysia sudahpun melaksanakan pelbagai program untuk membaiki sekolah luar bandar dan bantuan ke Gaza tidak akan menjejaskan usaha ini secara signifikan.

Daripada segi tanggungjawab kemanusiaan dan solidariti Islam pula, Mohd Azmi berkata, membantu Gaza bukan sekadar isu kewangan tetapi, juga satu bentuk solidariti umat Islam dan tanggungjawab kemanusiaan.

Jelasnya, Malaysia sebagai negara yang memperjuangkan hak Palestin tidak boleh berdiam diri apabila infrastruktur asas seperti sekolah dan hospital di Gaza dihancurkan.

“Sekolah luar bandar di Malaysia mengalami kekurangan, tetapi masih boleh beroperasi. Sekolah di Gaza bukan sekadar kekurangan, tetapi hancur sepenuhnya akibat serangan.

“Dalam konteks ini, membantu membina semula Gaza lebih mendesak kerana tanpa sekolah, generasi muda Palestin tidak mempunyai masa depan.,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI