IPOH – Perkembangan pesat pembangunan pusat rawatan dan hospital swasta di bandar raya ini menyerlahkan ibu negeri Perak itu sebagai sebuah bandar kesihatan bersepadu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sektor kesihatan bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi, malah ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan profesional dan teknikal,
Katanya, ia juga dapat membawa kesan positif menerusi limpahan manfaat kepada sektor lain seperti farmaseutikal, logistik, perhotelan dan pelancongan.

“Pembangunan sektor kesihatan di Perak bergerak seiring dengan matlamat Perak Sejahtera 2030, yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai ukuran sebenar kemajuan.
“Sejajar dengan hasrat itu, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses kepada rawatan yang berkualiti, memperkukuh prasarana kesihatan, serta membangunkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan sektor ini yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian bangunan hospital swasta Sunway Medical Centre Ipoh atau Pusat Perubatan Sunway Ipoh di Tambun, dekat sini, pada Rabu.
Perasmian disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selain turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Saarani berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan sektor swasta akan memperkukuhkan lagi sistem negeri di samping dapat membawa perkhidmatan perubatan bertaraf antarabangsa lebih hampir kepada rakyat.
Jelas beliau, kemudahan hospital swasta baru seperti Pusat Perubatan Sunway Ipoh juga turut melengkapkan ekosistem kesihatan swasta di Ipoh yang telah lama terbina seperti Hospital Pantai Ipoh, Hospital Fatimah, Hospital Seri Botani dan sebagainya.
Kata beliau lagi, pembangunan hospital-hospital swasta yang moden seperti Pusat Perubatan Sunway Ipoh juga akan membuka lebih banyak peluang kepada sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kesihatan di negeri ini.
“Pelaburan seperti ini bukan hanya bernilai daripada sudut ekonomi, tetapi mencerminkan misi kemanusiaan yang lebih besar, khususnya dalam memastikan rakyat Perak mendapat akses kepada rawatan yang adil, dan berkualiti.
“Kejayaan institusi kesihatan bertunjangkan kekuatan kerjasama antara kerajaan dan industri. Hubungan sinergi inilah yang menjadi asas kepada perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi dan peningkatan mutu perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak komited perluas akses kesihatan warga emas – Exco


