Pembangunan LuMIC jangka tarik pelaburan RM72 bilion

KUALA LUMPUR – Perancangan pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah RM72 bilion dalam tempoh 25 tahun akan datang.

Malah hasil projek berkenaan akan memberi prospek dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi Negeri Perak dengan lebih 50,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan LuMIC di kawasan seluas kira-kira 9,307.80 hektar itu akan memenuhi keperluan pasaran serta menepati arus global seperti meliputi ekonomi hijau, biru dan digital.

Katanya, malah ia juga akan merangkumi pelabuhan bertaraf antarabangsa, zon perindustrian mesra alam dan bandar pintar yang lestari.

“Pelaksanaan Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara (RDICE) dijangka meningkatkan sumbangan sektor marin dan maritim kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara iaitu daripada 21.3 peratus kepada 31.5 peratus menjelang 2030, bersamaan nilai RM1.4 trillion.

“Malaysia, khususnya Perak, berpotensi menerajui ekonomi biru melalui sektor perikanan, pelancongan maritim, tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi marin.

“Pada tahun 2023 sahaja, Perak menyumbang 22.8 peratus kepada jumlah pengeluaran perikanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembentangan Kajian dan Kebolehlaksanaan Projek LuMIC oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Khamis.

Mengulas lanjut Saarani berkata, pembentangan laporan berkenaan merangkumi sembilan elemen kritikal meliputi aspek Ketersambungan, Pelaburan Langsung Asing, Perdagangan dan Industri Kargo, Tadbir Urus, Pelan Hala Tuju, Tenaga Hijau, Teknikal dan Nautika, Impak Sosial dan Alam Sekitar, serta Pelan Induk.

Kata beliau, LuMIC berupaya menangani cabaran global melalui pendekatan lestari seperti pengurangan karbon, penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta pembentukan rantaian bekalan yang berdaya tahan.

Malah Saarani berkata, projek itu turut menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan ia menjadikan Perak antara pelopor kemampanan maritim di rantau ini.

“LuMIC dilaksanakan berlandaskan pematuhan kepada prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), serta hala tuju yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Selain menarik pelaburan dan pemain logistik global, LuMIC juga dijangka merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) inovatif, sekali gus mewujudkan kesan limpahan ekonomi di seluruh negeri,” tambah beliau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak sedia jadi peneraju ekonomi biru negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI