KUALA LUMPUR – Pembangunan negara bukan diukur melalui ketinggian bangunan, kemajuan fizikal atau kemodenan prasarana semata-mata.
Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Wilayah Persekutuan berkata, pembangunan negara dilihat menerusi kehidupan serta kebajikan rakyat yang berpaksikan keadilan dan keperluan masyarakat.
“Segala usaha pembangunan mesti memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada arus kemakmuran, agar hasil kemajuan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Sehubungan itu kerajaan akan terus memperkukuhkan semangat ihsan, saling menghormati dan kebersamaan demi menjamin keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan bersama.
“Selamat menyambut Ulang Tahun Wilayah Persekutuan kepada seluruh warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, Hari Wilayah Persekutuan bukan sekadar mengingati sejarah tetapi komitmen bandar perlu dipastikn dapat berfungsi dengan untuk rakyat tanpa menyusahkan.
Ujarnya, tadbir urus bandar mesti responsif dan berani memperbetulkan kesilapan.
“Infrastruktur diperkukuhkan tanpa menjejaskan fungsi sosial. Kita bina bukan sekadar fizikal bandar tetapi pengalaman hidup iaitu adil, terbuka dan selesa untuk semua. Bandar ini milik anda,” katanya.
Tambah beliau, ruang awam dan fasiliti bandar mesti terbuka, mudah diakses dan aktif digunakan oleh keluarga, belia, warga bekerja, warga emas dan OKU (Orang Kurang Upaya).
“Keselamatan dibina melalui reka bentuk dan keterlihatan bukan sekatan. Taman, padang dan laluan pejalan kaki ialah keperluan asas bandar, bukannya aksesori,” tambahnya.- MalaysiaGazette


