Pembantu peniaga pasar gembira rumah uzur diganti baharu

BATU GAJAH – Penantian pembantu peniaga pasar, Zaharuddin Sallehuddin, 49, memiliki kediaman yang lebih selesa akhirnya tercapai apabila menerima bantuan bina baharu daripada Yayasan Perak.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia dan keluarga sebelum ini menduduki kediaman pusaka milik keluarganya di atas tanah yang sama namun keadaannya terlalu usang serta bocor.

Katanya, dia kemudiannya mengambil inisiatif sendiri memohon bantuan rumah di bawah Program Sayangi Rumahku oleh Yayasan Perak dan tidak menyangka permohonannya diluluskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tee Siang menyerahkan kunci rumah Program Sayangi Rumahku (Bina Baharu) daripada kerajaan negeri melalui Yayasan Perak kepada pembantu peniaga pasar, Zaharuddin Salehuddin, 49, di Kampung Seri Mariah, Batu Gajah. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Hampir 20 tahun saya duduk di rumah pusaka atas tanah ini namun keadaannya semakin usang hingga saya berfikir bahawa kami perlu kediaman baharu yang selesa.

“Alhamdulillah, impian kami sekeluarga dimakbulkan Allah S.W.T. dan rumah lama diroboh dan rumah baharu didirikan,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.

Beliau berkata demikian selepas menerima serahan rumah Program Sayangi Rumahku (Bina Baharu) Yayasan Perak di Kampung Seri Mariah, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir pada majlis berkenaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tee Siang dan wakil Bahagian Modal Insan Yayasan Perak, Muhammad Azri Mohammad Fuzi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tee Siang meninjau rumah pembantu peniaga pasar, Zaharuddin Salehuddin, 49, ketika majlis serahan kunci Program Sayangi Rumahku (Bina Baharu) daripada kerajaan negeri melalui Yayasan Perak di Kampung Seri Mariah, Batu Gajah. Foto ABDULLAH YUSOF.

Zaharuddin berkata, dia dan isteri merancang untuk berpindah ke kediaman baharu mereka selepas Aidilfitri memandangkan terdapat beberapa urusan perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Dia turut menzahirkan rasa syukur kepada Allah S.W.T. serta penghargaan di atas keprihatinan Yayasan Perak membantu dia dan keluarga memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.

Sementara itu, Steven Tiw berkata, pihaknya berharap agar Zaharuddin dan keluarga dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa dan sempurna.

Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Perak itu amat membantu rakyat yang tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri dengan lebih selesa. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Yayasan Perak lulus 17 rumah baharu, 120 kediaman dibaiki

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI