TELUK INTAN – Seorang pembantu restoran mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk menyamar sebagai pegawai polis dan memiliki pistol tiruan pada Disember lalu.
Tertuduh, Teh Wei Xiang, 21, membuat pengakuan tersebut selepas keempat-empat pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki tersebut didakwa telah menyamar kepada mangsa, seorang wanita berusia 35 tahun sebagai pegawai polis yang berpangkat Asisten Komisioner.
Dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, Teh didakwa telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bangunan tersebut yang digunakan sebagai tempat kediaman wanita sama.
Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
Seterusnya, untuk pertuduhan ketiga, lelaki terbabit didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap wanita sama dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.
Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Untuk pertuduhan keempat, lelaki tersebut didakwa memiliki senjata tiruan iaitu sepucuk pistol dan dia dituduh mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang boleh dipenjara maksimum setahun atau dengan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.
Kesemua perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Bagan Ikan, Bagan Datuk antara jam 4.10 pagi dan 4.15 pagi, 15 Disember 2025.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Darwis Aghniya Halim Azizi manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Saravanan.
Terdahulu, Saravanan dalam mitigasinya memaklumkan anak buahnya yang masih bujang bekerja bersama ibu bapanya di restoran dan tamat belajar sehingga tingkatan tiga sahaja.
Menurutnya, bertindak menjadi polis dan membeli pistol tiruan daripada platform e-dagang berharga RM168 kerana mendakwa rumah mangsa menjalankan kegiatan jual beli dadah bertindak terlebih dahulu sebelum memanggil polis untuk tindakan lanjut.
“Anak guam saya turut memohon maaf serta memohon supaya hukuman dan denda ringan dikenakan ke atasnya serta berharap ini adalah kes pertama dan terakhir,“ katanya.
Darwis Aghniya memohon supaya hukuman berat penjara dikenakan terhadap tertuduh bagi keempat-empat pertuduhan supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak melakukan kesalahan tersebut.
Naidatul Athirah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi kesalahan menyamar polis dan menceroboh kediaman manakala bagi ugutan jenayah dan memiliki pistol tiruan masing-masing membawa hukuman penjara dua tahun dan enam bulan.
Kesemua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada 5 Januari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


