KUALA LUMPUR – Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 kepada 8.2 juta penerima akan bermula Isnin ini (29 Jan).
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembayaran itu akan dibuat kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat, mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.
Menurut MOF, kerajaan telah menaikkan bayaran STR Fasa 1 kepada RM500 bagi penerima kategori isi rumah, berbanding bayaran maksimum RM300 pada tahun lepas, bagi membant sebilangan besar rakyat menangani kesan peningkatan kos sara hidup.
Kementerian itu memberitahu penerima daripada kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima RM500 melalui pembayaran STR Fasa 1, manakala isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 layak menerima RM100 hingga RM300.
Penerima bagi kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang pula masing-masing akan menerima RM150 dan RM100.
— BERNAMA