PUTRAJAYA – Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 8.4 juta penerima akan bermula Rabu ini (3 April).
STR Fasa 2 akan melibatkan bayaran antara RM100 hingga RM650.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembayaran itu akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat, mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.
Menurut MOF, mulai 2024 kerajaan mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
“Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOF, sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
Kenyataan sama turut memaklumkan kerajaan menambah peruntukan program subsidi bersasar STR Fasa 2 sebanyak 20 peratus iaitu kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion pada tahun lepas, bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana rendah untuk menangani peningkatan kos sara hidup.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan itu berkata reformasi ekonomi yang diterajui Kerajaan MADANI bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.
“Insya-Allah, kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim boleh didapati di portal rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
MOF turut menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.
— BERNAMA