Pembayaran STR Fasa 3 kepada 8.6 juta penerima mulai esok – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Tiga mulai esok, melibatkan peruntukan RM2 bilion sebagai langkah Kerajaan MADANI meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata 8.6 juta penerima bakal mendapat bantuan hingga RM650 menerusi STR Fasa Tiga, menunjukkan peningkatan sebanyak 300,000 penerima berbanding 8.3 juta penerima Fasa Satu pada Januari lepas.

Beliau berkata peningkatan penerima STR itu hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.

“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara.

“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI,” katanya.

Anwar berkata pembayaran STR Fasa Tiga akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Sementara itu, menurut Kementerian Kewangan sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR  dimuktamadkan.

Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI