Pembekuan perolehan MINDEF, KDN diteruskan – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan meneruskan pembekuan sementara semua perolehan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan berkaitan bagi memastikan urusan perolehan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan kepentingan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah tersebut selari dengan pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan hari ini yang menekankan keperluan tadbir urus serta tatakelola baik dalam semua keputusan perolehan.

Menurutnya, adalah mustahil untuk menetapkan dasar pertahanan dan memperoleh aset keselamatan terbaik sekiranya proses perolehan masih dipengaruhi kepentingan peribadi, budaya komisen atau amalan yang merosakkan.

Sehubungan itu, kata Anwar, pembekuan perolehan di Kementerian Pertahanan akan diteruskan dan diselaraskan turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berikutan persamaan proses serta penglibatan agensi keselamatan lain.

“Mana mungkin kita tetapkan dasar pertahanan, perolehan senjata terbaik kalau kita masih diheret dengan kepentingan peribadi dengan komisen dengan kekayaan-kekayaan.

“Maka pembekuan ini diteruskan di Kementerian Pertahanan dan saya nak selaraskan juga di KDN, kerana beberapa persamaan atau agensi-agensi lain yang terlibat harus melalui perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama ketika Majlis Peluncuran Industri Pertahanan Negara (DIPN) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Tambah Perdana Menteri, semua kelulusan perolehan yang telah dibuat tetapi belum dimuktamadkan akan diteliti semula bagi memastikan pematuhan kepada prinsip ketelusan serta keupayaan kewangan negara.

Menurut beliau, melalui kerangka DIPN, semua perolehan selepas ini perlu dinilai berdasarkan strategi pertahanan negara, dibuat secara terbuka dan mengelakkan sebarang ruang kepada penyelewengan atau kecurangan.

Minggu lalu, Anwar memaklumkan bahawa semua keputusan perolehan melibatkan ATM, PDRM dan agensi berkaitan yang terpalit isu rasuah dibekukan sementara sehingga keseluruhan proses perolehan dipatuhi sepenuhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI