Pemberian kontrak kepada suami Hannah: Jika ada laporan, siasat – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan isu penganugerahan kontrak kepada suami Hannah Yeoh.

Menurut Anwar, siasatan perlu dijalankan dengan telus sekiranya terdapat sebarang laporan mengenai penganugerahan kontrak Kerajaan Negeri Selangor kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd yang diterajui suami Hannah

“Serahkan kepada pihak berkuasa kalau ada laporan, sepatutnya secara telus penyiasat.

“Kalau ada laporan, ada siasatan, patut ada penjelasan apa proses dia. Saya ingat itu harus dianggap sebagai kes biasa, yang patut disiasat saya tidak ada masalah,” kata Anwar kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas merasmikan Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam dengan tema Ekonomi Islam Global: Agenda Reformasi Untuk Kesejahteraan Bersama.

Minggu lalu, Exco Selangor, Ng Sze Han, menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT di negeri itu.

Kedua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Beberapa pihak mempersoal pelantikan Asia Mobility susulan dakwaan syarikat itu dimiliki suami Hannah, Ramachandran Muniandy yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobality selain persoalan sama ada pelantikan syarikat itu dilakukan sebagai tender terbuka.

Media melaporkan semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melihat sebarang kaitan pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor dengan Hannah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menegaskan setakat ini tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang dalam pemberian kontrak kepada syarikat milik bersama suami Hannah itu.

“Saya tidak mengetahui lanjut mengenai kes itu tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan) ia bukanlah satu kesalahan.

“Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan antara Kerajaan Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI