Pembinaan jambatan Bailey ganti Jambatan Sungai Liat sudah dimulakan

IPOH – Kerajaan Perak telah memulakan kerja-kerja pembinaan Jambatan Bailey bagi menggantikan Jambatan Sungai Liat, Sungkai yang runtuh dalam kejadian Sabtu lalu.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, jambatan itu dibina bagi menghubungkan laluan keluar dan masuk Hot Spring Felda Sungai Klah, Kampung Orang Asli Sungai Tisong dan Buyong Mas Sanctuary Camp Site yang terputus.

Menurutnya, jambatan yang akan dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 29 April ini.

“JKR (Jabatan Kerja Raya) akan melaksanakan pembinaan jabatan itu mulai hari ini dan dijangka mengambil masa antara empat hingga tujuh hari untuk disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung kejadian tersebut di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Mohammad Nizar memaklumkan runtuhan itu dipercayai berlaku apabila sisa-sisa kayu dan sampah sarap yang dibawa oleh aliran air deras telah menghentam jambatan berkenaan.

“Hasil lawatan di lokasi kejadian mendapati punca jambatan itu runtuh disebabkan hentaman sampah sarap, kayu yang dibawa oleh aliran air deras sehingga menyebabkan culvert (gelung pembentung) di jambatan tersebut pecah dan runtuh,” katanya yang memaklumkan jambatan itu telah dibina lebih 20 tahun.

Sementara itu, Mohammad Nizar memaklumkan melalui semakan yang dilakukan, jambatan itu bukan di bawah pembinaan dan selenggaraan kerajaan negeri sebaliknya ia dibina oleh Felda.

“Kalau check (semak) ia di bawah Felda. Agensi kerajaan tak terlibat. Bagaimanapun, jambatan serta jalan itu menjadi laluan bagi Lembaga Air Perak (LAP) dan orang kampung di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, selepas ini kita akan mendaftar jalan tersebut di bawah MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia),“ jelasnya.

Katanya, bagi penyelesaian jangka panjang, jambatan tersebut akan dinaik taraf sebagai single span bridge (jambatan laluan sehala) dengan menggunakan kaedah terkini yang lebih kukuh bagi memudahkan aliran air mengalir dengan lancar.

Selain itu, Mohammad Nizar turut memaklumkan sebagai langkah keselamatan, beberapa penduduk turut dipindahkan keluar kawasan tersebut termasuk ibu mengandung dan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis.

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melaporkan seramai 136 individu termasuk 81 pelajar sebuah politeknik terkandas akibat kejadian itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kepala air Slim River: Jambatan runtuh akibat sisa kayu ditinggalkan, hanyut

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI