Pembinaan rumah mampu milik di Batang Padang, Muallim bantu tampung 10,000 pekerja AHTV

BIDOR – Pembinaan rumah mampu milik di Daerah Batang Padang dan Muallim mampu menampung keperluan kediaman bagi 10,000 pekerja Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) sekali gus merancakkan sektor perumahan di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri merancang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi membolehkan semua lapisan masyarakat mempunyai rumah berkualiti dan bernilai tinggi pada harga yang berpatutan.

Menurutnya, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan swasta seperti Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan syarikat pemaju perumahan dapat membantu merealisasikan projek pembangunan seperti yang dirancang.

Katanya, pembangunan projek perumahan yang terancang juga pada masa yang akan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan khususnya di Daerah Batang Padang yang akan turut merancakkan industri lain yang berkaitan termasuk pembinaan, perniagaan serta perkhidmatan.

“10,000 pekerja yang akan datang bekerja di Proton City bila mereka nak beli rumah dia pastikan rumah itu sudah siap atau sedang dalam pembinaan tetapi pemaju harus memberi jaminan kualiti pembuatan rumah adalah baik dan boleh siap seperti yang dijadualkan

“Tetapi jika ada projek perumahan yang terbengkalai sudah pasti pekerja Proton City  bimbang dan takut untuk membeli rumah.

“Justeru, kolaborasi antara LPHP dan syarikat pemaju perumahan adalah penting kerana mereka mempunyai kelebihan khusus dalam pengetahuan, kemahiran serta sumber kewangan bagi menjayakan inisiatif dan projek pembangunan yang dirancangkan.

“Jika ada kawasan lain, Pejabat Daerah dan LPHP boleh lihat supaya kita dapat meneruskan kerjasama dengan mana-mana syarikat swasta untuk kita bangunkan projek perumahan mampu milik ini,” katanya.

Pembinaan rumah mampu milik di Batang Padang, Muallim bantu tampung 10,000 pekerja AHTV
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (dua,kanan) menyempurnakan perasmian projek perumahan Lakeview Residences @ Bidor pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Bidor. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 APRIL 2024.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan perasmian projek perumahan Lakeview Residences @ Bidor di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan.

Dalam pada itu, Saarani menegaskan supaya pemilihan syarikat pemaju perumahan perlu dilakukan dengan lebih teliti bagi memastikan projek perumahan yang dijalankan tidak terbengkalai.

“Memilih pemaju yang betul adalah paling penting. Ini disebabkan banyak pemaju gagal untuk menyiapkan projek mengikut jadual sedangkan pembeli sudah mula potong gaji untuk membayar rumah

“Sehubungan itu, pemaju dengan kerjasama LPHP perlu menunjukkan prestasi cemerlang dengan menghasilkan projek mampu milik dengan kualiti baik dan siap seperti dijadualkan.

“Kita tidak mahu menzalimi pembeli yang potong gaji dari bank atau mana-mana pembiaya perumahan dan pada waktu sama projek ditangguhkan dan kelewatan ditanggung pembeli rumah,” jelasnya.

Setakat ini, LPHP telah membangunkan Projek Perumahan Perwira Batang Padang iaitu pembangunan unit kediaman kos sederhana sebanyak 596 unit yang dijual pada harga bermula RM144,00 hingga RM200,390 seunit. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dashboard Data Perumahan Negeri Perak bakal dilaksanakan tahun ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI