IPOH – Penduduk Kampung Batu, Menglembu Timur terpaksa berhadapan masalah bekalan air dan laluan keluar serta masuk kampung disebabkan pembinaan struktur haram sejak enam tahun lalu.
Pembinaan struktur haram berupa rumah kediaman dan laluan ke rumah ibadat punca segala kerja pasang paip serta pembinaan jalan utama terjejas.
Wakil penduduk, P Bala, 65, berkata, walaupun sudah beberapa kali wakil berjumpa pemilik rumah kediaman tersebut namun tidak diendahkan dan tiada sebarang tindakan dilakukan.
“Kita sudah berjumpa pemilik rumah tersebut, ajak berbincang tetapi dia tidak peduli tidak layan kami, pemilik tahu itu rizab jalan tetapi tetap bina rumah di situ, jadi kami tiada jalan lain.
“Disebabkan oleh struktur haram terbabit, meter air terpaksa dipasang sangat jauh kira-kira tiga kilometer dari rumah, selain itu satu meter air perlu dikongsi bersama tiga rumah yang mengakibatkan tekanan air tersangat rendah,”katanya kepada ditemui pemberita di kampung itu, hari ini.
Menurut Bala, kawasan penempatan itu pada asal merupakan kawasan setinggan namun ianya sudah diiktiraf sebagai kampung baru sejak Julai 2018 dengan ia dibahagikan kepada 80 lot bagi pembinaan rumah.
Namun hanya 10 buah rumah sahaja baru dibina kerana pemilik baki 70 lot kosong tidak mahu mengambil risiko membina rumah sekiranya masalah kemudahan asas tidak dapat diselesaikan.
Masalah ini turut diakui seorang lagi penduduk, Mohd Rosdi Abu Bakar, 53,
Beliau berkata selain masalah bekalan air yang dihadapinya, keselamatan penduduk juga agak berisiko susulan ketiadaan jalan utama.
“Kos untuk pemasangan meter air yang kedudukannya terlalu jauh dari rumah berjumlah RM6,000 berbanding jika meter dipasang depan rumah iaitu sekitar RM1,000. Mahal tetapi tekanan air sangat perlahan.
“Jalan keluar masuk dihalang, kami tiada pilihan. Kami terpaksa menggunakan jalan tidak berturap dengan permukaan tidak rata dalam kawasan pencawang elektrik bervoltan tinggi di bawah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB),”ujarnya.
Sehubungan dengan itu, penduduk meminta agar tindakan sewajarnya dapat diambil pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi penduduk. – MG Perak.Aa