Pemeliharaan Hutan Perak: Langkah meningkatkan kesedaran dan kelestarian alam

HUTAN memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem yang semakin terancam akibat aktiviti manusia

Mengikut rekod Jabatan Hutan Negeri Perak, jumlah kawasan berhutan di Perak seluas 1,027,027.54 hektar meliputi Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluas 988,722.22 yang terletak dalam lima pentadbiran Pejabat Hutan Daerah.

Daripada keluasan HSK itu, 946,124.81 hektar adalah Hutan Darat termasuk Ladang Hutan (6,905.00 hektar) dan Hutan Paya Laut (42,597.41 hektar).

Oleh itu, jumlah keseluruhan keluasan kawasan HSK bagi Negeri Perak adalah 47.36 peratus daripada jumlah keluasan negeri iaitu 2,087,573.28 hektar.

Pemeliharaan Hutan Perak: Langkah meningkatkan kesedaran dan kelestarian alam
Suasana sekitar Hutan Royal Belum. Foto SYADILA AMARI.

Justeru, hutan serta sumber di dalamnya perlu dipelihara dan dipulihara bagi memastikan ia dapat dinikmati generasi masa hadapan selain membantu dalam mengurangkan kesan perubahan iklim yang semakin tidak menentu.

Selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dicetuskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber alam secara lestari adalah salah satu komponen penting dalam pelan ini.

Ini bagi memperkukuhkan perlindungan dan pemuliharaan hutan negeri dengan mewujudkan lebih banyak kawasan perlindungan hutan yang dilindungi sepenuhnya dan pengawasan lebih ketat terhadap aktiviti pembalakan.

Pada masa sama, ia turut melibatkan usaha bagi memulihkan kawasan hutan yang telah terjejas akibat aktiviti pembalakan tidak terkawal.

Pemeliharaan Hutan Perak: Langkah meningkatkan kesedaran dan kelestarian alam
Pemandangan hijau nan indah dari Tasik Temengor di Taman Negeri Royal Belum, Gerik. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Hari Hutan Sedunia yang disambut baru-baru ini adalah salah satu usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hutan kepada kehidupan manusia dan alam sekitar.

Bertemakan ‘Hutan dan Makanan‘, ia menekankan peranan penting hutan dalam memastikan keselamatan makanan, keseimbangan ekosistem serta kesejahteraan komuniti yang bergantung kepada sumber hutan.

Pulang Banding Foundation (PBF) antara yang turut memainkan peranan penting dalam menjalankan pelbagai program konservasi dan pemuliharaan hutan khususnya untuk memastikan kelestarian Kompleks Hutan Hujan Belum-Temengor.

Pengurus PBF, Zulfadhlan Ahmad Khushairi berkata, antara inisiatif yang diwujudkan adalah Belum Forest Friends (BFF) iaitu sebuah program sosial yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyertai usaha pemuliharaan hutan hujan dan perlindungan alam sekitar.

Pemeliharaan Hutan Perak: Langkah meningkatkan kesedaran dan kelestarian alam
Belum Forest Friends (BFF), sebuah program sosial yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyertai usaha pemuliharaan hutan hujan dan perlindungan alam sekitar. Foto ihsan PULAU BANDING FOUNDATION

Menurutnya, dengan menyokong PBF, sukarelawan dapat menyumbang kepada usaha pemeliharaan yang bermakna dan membentuk hubungan lebih erat dengan alam semula jadi.

“Baru-baru ini, BFF telah menganjurkan program BFF Green Assembly & Re-Green Movement dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Tropical Rainforest Research Centre (TRaCe), Tropical Rainforest Research & Conservation Explorers (TREX), dan University of Nottingham Malaysia.

“Program ini turut mendapat sokongan daripada Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC) yang telah menaja sebanyak 40 anak pokok untuk sesi penanaman pokok dalam usaha penghijauan semula hutan.

“Ia bukan sahaja membantu memulihkan ekosistem hutan tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar.” katanya.

Pemeliharaan Hutan Perak: Langkah meningkatkan kesedaran dan kelestarian alam
Belum Forest Friends (BFF), sebuah program sosial yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyertai usaha pemuliharaan hutan hujan dan perlindungan alam sekitar. Foto ihsan PULAU BANDING FOUNDATION

Beliau berkata, inisiatif tersebut turut membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada pemuliharaan salah satu hutan hujan tertua di dunia.

“Menerusi penglibatan masyarakat, penanaman semula pokok dan penyebaran kesedaran mengenai kepentingan hutan kepada makanan dan kehidupan harian, BFF berusaha membentuk rangkaian individu yang komited terhadap penjagaan alam sekitar dan kelestarian hutan.

“Sebagai konklusi, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tetapi juga memberi kesan nyata dalam usaha pemuliharaan Kompleks Hutan Hujan Belum-Temengor,” jelasnya.

Pemeliharaan Hutan Perak: Langkah meningkatkan kesedaran dan kelestarian alam
Pengurus Pulau Banding Foundation, Zulfadhlan Ahmad Khushairi.

Sehubungan itu,  Zulfadhlan berkata, Hari Hutan Sedunia bukan sekadar satu peringatan tentang kepentingan hutan, tetapi juga satu seruan untuk bertindak dalam memastikan hutan terus memainkan peranannya dalam menyokong kehidupan manusia dan alam sekitar.

Tambahnya, menerusi program seperti BFF dan sokongan yang diberikan kepada PBF, semua pihak dapat memainkan peranan dalam memastikan kelestarian hutan sebagai warisan alam yang berharga. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PBF, IPT berkolaborasi jalani penyelidikan biodiversiti di Royal Belum

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI