Setiap rakyat di negara ini mempunyai cara tersendiri meraikan Sambutan Hari Kebangsaaan bagi menunjukkan semangat patriotisme dan cinta akan negara.
Bagi Ahli Perniagaan, Masaud Mansur, 62, dia menunjukkan semangat cinta akan negara melalui kereta klasik jenama Eropah berusia puluhan tahun yang dimilikinya melalui konvoi yang dianjurkannya.
Datuk kepada 10 orang cucu ini memiliki 13 buah kereta klasik termasuklah jenama Mercedes-Benz model W115, W116, R126 dan lain-lain lagi.
Masaud yang juga Penasihat Gabungan Pemilik Mercedes Perak berkata, minatnya terhadap kenderaan klasik buatan Jerman ini bermula selepas dia mewarisi model W115 milik bapanya yang dibeli pada 1975.
“Sudah 35 tahun saya menggunakan kereta ini di samping memiliki kenderaan lain termasuklah model W115, W116 dan lain-lain lagi.
“Tanpa saya sedar saya merupakan collector (pengumpul) kereta-kereta klasik buatan Jerman ini,” katanya ketika ditemui pada Program Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz (GPMP) 2025 sempena 50 Tahun Jubilee Emas Felcra Nasaruddin di Dataran Cempaka Sari, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-Layang Kiri, Parit.
Bukan hobi mahal, lebih kepada minat
Ditanya mengenai penjagaan kereta klasik miliknya, Masaud berkata, dia memperuntukkan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan memandangkan ia jarang di bawa keluar melainkan apabila perlu.
Biarpun ada yang mengatakan hobi sepertinya itu mahal dia tidak pernah menganggap ia sedemikian memandangkan ia lebih kepada minat.
“Hobi ini tidak mahal ia lebih kepada pertengahan. Apa yang penting adalah untuk kita kekalkan kekuatan kereta ini memandangkan ia klasik.
“Kami juga sering berkongsi ilmu dan pendapat dalam kalangan ahli kumpulan jadi ia tidak menjadi masalah,” katanya.
Konvoi kemerdekaan bantu naikkan semangat pelajar sambut kemerdekaan
Menurut Masaud dia sering menyertai konvoi kereta klasik termasuklah semasa sambutan bulan kemerdekaan bersama rakan-rakan yang lain sama ada di dalam Perak mahupun luar negeri serta negara.
Katanya, dengan menyertai konvoi dia dapat mendekati pelbagai lapisan masyarakat selain berkongsi minatnya dengan mereka yang menggemari kereta klasik buatan Eropah itu.
“Setiap tahun kita memang akan anjur atau ikuti konvoi dan bukan setakat dalam Malaysia malah ada sampai ke luar negara.
“Begitu juga konvoi kemerdekaan yang setiap tahun saya sertai dan untuk tahun ini agak istimewa di mana kita konvoi 68 buah kereta klasik Mercedes Benz sempena 68 tahun Kemerdekaan negara,” katanya.
Lebih bermakna lagi, Masaud berkata, enam daripada jumlah kereta yang mengikuti konvoi berkenaan adalah miliknya yang mana salah sebuahnya turut dipandu anak lelaki yang mewarisi minatnya itu.
“Pengisian konvoi ini adalah untu memupuk, menyemarakkan lagi sambutan bulan Kemerdekaan dalam kalangan pelajar sekolah rendah serta menengah sambil melihat sendiri kereta klasik.
“Sorakan mereka dengan kibaran jalur gemilang sudah cukup memeriahkan sambutan bulan Kemerdekaan ini dan kami amat gembira,” katanya.
68 buah kenderaan klasik bawa semangat kemerdekaan
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Ikhtiar Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz yang dianjurkan itu bertujuan menyemarakkan semnagat patriotik dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan peserta serta pelajar.
Beliau berkata, pelepasan konvoi bermula di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Seri Iskandar dan menuju ke Dataran Cempaka Sari, Parit, dengan kehadiran Exco Kerajaan Negeri Perak merangkap ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah.
Katanya lagi, rombongan 68 buah kereta itu kemudiannya meneruskan perjalanan ke SMK Layang-Layang Kiri bagi menghadiri ceramah pengisian kemerdekaan.
Sepanjang perjalanan ke FELCRA Nasaruddin, konvoi melalui lapan sekolah yang menyambut dengan lambaian Jalur Gemilang, iaitu Sekolah Kebangsaan Pulau Padang, SK Bota Kiri, SK Teluk Kepayang, SK Lambor Kiri, SMK Muzaffarshah 1 Lambor Kanan, SK Padang Changkat, SK Bota Kanan dan SK FELCRA Nasaruddin.
“Alhamdulillah bermula di Parit ramai pelajar-pelajar dan murid-murid kita yang berada di tepi jalan mengebarkan Jalur Gemilang dengan semangat teriakan dan itu akan memberikan semangat kepada kita.
“Bermula dari semalam pelbagai aktiviti dan juga sejarah kita laksanakan bagi memupuk semangat dan saya yakin dan percaya iltizam kita untuk melihat rakyat yang berada di dalam negara kita ini bersatu padu,” katanya. -MG Perak