MELAKA – Pemilik pacuan empat roda jenis Isuzu yang dikesan tular memaparkan pelekat bertulisan Hebrew bukan cuba menyebarkan mesej pro-Israel, sebaliknya merupakan peminat tulisan itu.
Malah, dia telah menggunakannya sejak 13 tahun lalu sebagai tanda semangat patriotik terhadap Malaysia.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, perkara itu diperoleh selepas siasatan dilakukan terhadap pesara kerajaan berusia 59 tahun dari Gemencheh, Negeri Sembilan susulan laporan polis dibuat suspek pada 7 Oktober lalu.
Menurutnya, siasatan dilakukan selepas pihak polis memperoleh OTI (Perintah Untuk Siasatan) daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) semalam.
“Hasil keterangannya, pesara kerajaan lelaki berusia 59 tahun itu memberitahu dia adalah peminat tulisan-tulisan antarabangsa seperti Greek, Rusia termasuklah Hebrew.
“Siasatan mendapati pelekat pada bahagian belakang kenderaan jenis Isuzu itu bertulis “Malizia Beiteinu” dalam bahasa Hebrew itu bermaksud “Malaysia rumahku”,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.
Menurut beliau, lelaki itu memaklumkan tulisan itu merupakan olahan daripada perkataan ‘Israel Beiteinu’ (Israel rumahku) dalam tulisan Hebrew.
“Bagaimanapun, pesara itu menukar perkataan ‘Israel’ kepada ‘Malaysia’ sebagai tanda cintakan tanah air yang ditempahnya di Selangor dan telah menggunakan pelekat itu pada pikap berkenaan sejak tahun 2012.
“Sejak 13 tahun lalu, ia tidak pernah menimbulkan sebarang isu sehinggalah baru-baru ini apabila tular video berdurasi 14 saat memaparkan kenderaan di media sosial dan disalahtafsir pada 7 Oktober lalu,” katanya.
Dzulkhairi pengguna media sosial berkenaan disalah tafsir sebagai “Malaysia Beiyeidenu” yang membawa maksud ‘Malaysia milik kami”.
“Namun apa pun keterangan daripada suspek, masih teruskan siasatan yang bukanlah setakat jenayah sahaja tetapi juga jika wujud elemen lain termasuklah mendapatkan pandangan daripada pakar bahasa bagi mengesahkan maksud sebenar tulisan tersebut.
“Kita berharap masyarakat tidak membuat sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” tegasnya lagi.
Ditanya adakah pihak polis mengarahkan pelekat itu dibuka, beliau berkata tiada arahan sedemikian dibuat kerana setakat ini suspek memberitahu ia bukan bertujuan menyampaikan mesej kepada Israel.
“Namun, ini bukanlah bermaksud kita percaya sepenuhnya terhadap dakwaan suspek,”katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam.
Siasatan turut dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, kerana kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi.
Pada 7 Oktober lalu, MalaysiaGazette melaporkan tular video sebuah pikap didakwa berlaku di Melaka yang memaparkan pelekat warna biru bertulisan putih yang merupakan warna bendera Israel. – MalaysiaGazette