IPOH – Suasana kedai makan dan kawasan persinggahan popular, ‘Port Lepak Jerung’ di laluan Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands kelihatan suram selepas premis itu diarahkan untuk ditutup sementara ekoran kejadian hakisan cerun, seperti yang tular pada Khamis.
Tinjauan MalaysiaGazette (MG) Perak di lokasi pada Jumaat mendapati notis pemakluman penutupan sementara oleh Pejabat Hutan Daerah Kinta/Manjung turut dilekatkan pada pagar di premis berkeluasan 0.4 hektar itu.

Notis itu memaklumkan operasi kedai makan terbabit telah ditutup sementara bermula pada 26 Disember sehingga 31 Januari 2026 bagi tujuan siasatan lanjut.
Beberapa pengguna jalan raya dilihat berhenti untuk singgah, namun terpaksa beredar selepas menyedari notis penutupan yang dipasang di kawasan berkenaan.

Seorang pelancong dari Kedah yang mahu dikenali sebagai Mohd Sufian berkata, dia baru menyedari bahawa Port Lepak Jerung ditutup sementara selepas melihat keadaan premis itu dipasang garisan kuning.
Katanya, premis berkenaan merupakan lokasi yang kerap disinggahi pada setiap kali dia sekeluarga sedang dalam perjalanan untuk bercuti ke Cameron Highlands, Pahang.

“Kami baru sedar Port Lepak Jerung ini telah ditutup sementara pada hari ini. Saya dan keluarga memang kerap berhenti di sini kerana pemandangan hijau yang cukup menarik,” katanya.
Pemilik Port Lepak Jerung, Shahidan Mahamad, 47, ketika ditemui berkata, dia akur dengan tindakan pihak berkuasa yang mengarahkan agar premis perniagaan yang mula beroperasi sejak dua tahun lalu itu ditutup sementara.
Kata Shahidan, beliau dimaklumkan bahawa ia sebagai memberi laluan untuk prosedur awal bagi mengenal pasti punca kejadian hakisan cerun yang membabitkan lima agensi termasuk Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perhutanan Negeri, polis serta pihak berkuasa tempatan.

“Hasil perbincangan dengan agensi-agensi terbabit, kawasan premis saya ini perlu ditutup sementara untuk proses siasatan awal daripada pelbagai sudut termasuk dalam soal keselamatan.
“Perkara sebegini saya serahkan kepada mereka yang pakar untuk ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Justeru Shahidan berharap agar siasatan dan tindakan lanjut oleh pihak berkuasa dapat dilaksanakan dalam kadar segera memandangkan kedai makan terbabit merupakan satu-satunya mata pencariannya.

Ujar beliau, premis yang terletak kira-kira 45 kilometer (km) dari Simpang Pulai dan 40 km dari Cameron Highlands itu menerima kehadiran purata sehingga 400 orang pengunjung dalam sehari dan ia terus bertambah terutama pada musim cuti sekolah.
“Kedai makanan saya ini dibuka setiap hari, dan saya sediakan kemudahan untuk semua, bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.
“Boleh dikatakan ramai pengguna jalan raya berhenti di sini untuk berehat, solat, menggunakan tandas atau sekadar mengambil gambar,” ujarnya.

Dalam pada itu Shahidan memberitahu, tiada kejadian hakisan cerun didapati berlaku di kawasan premis perniagaannya pada dua tahun pertama beroperasi.
“Hujan lebat berterusan serta kerosakan pada sistem saliran menyebabkan hakisan cerun bertambah buruk sehingga ia menghampiri kawasan premis.
“Saya sudah buat aduan berkenaan kerosakan sistem saliran itu kepada pihak berwajib sebaik sahaja ia dikesan berlaku pada penghujung tahun lalu.
“Dan oleh itu saya berharap ia akan segera dibaik pulih bagi mengelakkan daripada sebarang keadaan yang tidak diingini berlalu,” katanya.


Pada Khamis media melaporkan permit penggunaan tapak di kedai makan berhampiran Seksyen 45.9 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands (FT 185) digantung sementara bermula 26 Disember bagi memberi laluan kepada siasatan menyeluruh berhubung risiko tanah runtuh.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dilaporkan berkata, ia merupakan kawasan tanah tambak dan mempunyai tahap risiko tanah runtuh yang tinggi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kedai makan sebelah tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai- Cameron Highland ditutup


