Pemilik restoran ditahan, guna kalimah Allah, logo halal tidak sah

TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah restoran di sini yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah di dalam iklan perniagaan premis makanan berkenaan.

Selain itu, restoran tersebut turut menggunakan representasi takrif halal melalui penggunaan kalimah Allah dan ayat-ayat suci Al-Quran penyediaan makanan dan minuman.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, melalui pemeriksaan yang dijalankan anggota penguat kuasa sekitar jam 1 petang semalam, pemilik premis telah gagal mengemukakan suatu dokumen perakuan atau pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

Menurutnya, premis tersebut didapati menggunakan dua orang pekerja bukan beragama Islam dalam penyediaan makanan dan minuman termasuk tukang masak.

“Susulan itu pemilik premis tersebut dikenakan tindakan dan telah ditahan untuk diambil keterangan,“ katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita beberapa barangan iaitu set kalimah Allah dan Muhammad kayu serta plastik; hiasan dinding ayat suci al-Quran, salinan Lesen Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan salinan Daftar Perniagaan (SSM) dengan nilai sitaan sebanyak RM500 untuk siasatan lanjut.

“Bagi kesalahan pertama kes ini akan disiasat di bawah Perenggan 4, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 manakala kesalahan kedua disiasat mengikut Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011,” jelasnya.

Kamalludin berkata, KPDN memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga-peniaga yang menggunakan perbahasan atau takrif halal atau penggunaan logo halal yang tidak sah.

“Tindakan ini boleh memperdaya atau mengelirukan orang lain bahawa makanan, barang-barang serta perkhidmatan keluaran mereka adalah halal, terutamanya kepada orang Islam.

Peniaga juga perlu cakna akan kesalahan yang melibatkan makanan, barangan dan perkhidmatan serta penggunaan logo halal atau apa-apa representasi yang menunjukkan bahawa makanan atau barang-barang yang ditawarkan boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPDN tegur peniaga festival makanan, tanda harga perlu lebih jelas

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI