TAPAH – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar menyifatkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) terutamanya dari Pas masih membawa politik gaya lama meskipun negara mengorak ke arah politik baharu.
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Pas seharusnya memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam mencari maklumat namun sebaliknya yang berlaku.
“Saya amat hairan contohnya Ketua Pemuda Pas datang ke sini (Ayer Kuning) bercakap beliau tidak tahu kejayaan yang boleh dibanggakan dibuat kerajaan.
“Saya tidak boleh terima. Mereka tidak boleh mengenal pasti maknanya ini menunjukkan kebodohan buatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Majlis Jamuan Aidilfitri KRT, JPKK, Komuniti Madani Tapah Road di Dewan Serbaguna Taman Indah, di sini, pada Selasa.
Hadir sama calon BN bagi PRK Ayer Kuning, Ustaz Yusri; Ketua UMNO Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Naib Ketua UMNO Parit, Khairudin Abu Hanipah.
Mahfuz berkata dia juga turut hairan dengan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang mengatakan dirinya berjumpa dengan rakyat di stesen petrol bertanya bila mahu tukar kerajaan.
“Dia (Idris) ambil itu seolah-olah orang berminat hendak tukar kerajaan sedangkan orang itu hendak psiko pemimpin Pas yang selalu soal cakap tukar kerajaan sekian bulan, sekian bulan.
“Jadi orang perli dia. Ini bagi saya bahawa tiada orang yang waras hendak tukar kerajaan dalam keadaan kerajaan berjaya membuat persedian memberi kemudahan yang baik kepada rakyat,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Abd Muhaimin ada tauliah sejak 2014, henti main isu berkenaan – PAS