Pemuda AMANAH Perak gesa PM pertimbang semula portfolio Tiong King Sing

IPOH – Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan semula kesesuaian portfolio Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang disandang Datuk Seri Tiong King Sing.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak, Syahrunnaim Salehuddin berkata, gesaan itu dibuat selepas King Sing mengeluarkan kenyataan seolah-olah mempertikaikan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan papan tanda bahasa kebangsaan.

Katanya, sebagai anggota menteri kabinet Ahli Parlimen Bintulu itu seharusnya perlu lebih rasional sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkan boleh mencetuskan kontroversi yang tidak perlu.

“Kami percaya portfolio ini memerlukan kepimpinan yang lebih berwibawa dan memahami sensitiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Kredibiliti Kerajaan Madani tidak boleh terjejas disebabkan kenyataan tidak bertanggungjawab yang berulang kali dikeluarkan oleh seorang menteri,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Tambah Syahrunnaim, King Sing sepatutnya tidak sepatutnya membuat permohonan maaf kepada pelancong China ke atas penguatkuasaan undang-undang tempatan.

Malah ujar beliau, sebagai seorang menteri, King Sing juga sepatutnya mempertahankan  DBKL yang secara jelas bertindak mengikut lunas undang-undang serta peraturan sedia ada.

“Penggunaan Bahasa Melayu dalam papan tanda perniagaan adalah keperluan undang-undang yang telah lama wujud dan diamalkan di negara ini.

“Adalah tidak bertanggungjawab untuk seorang Menteri Kabinet mengaitkan penguatkuasaan undang-undang dengan isu perkauman.

“Malah, kenyataan sedemikian boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Kata beliau lagi, setiap menteri perlu memahami bahawa mereka adalah sebahagian daripada kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kepentingan negara secara menyeluruh, dan bukan hanya sektor atau komuniti tertentu.

Media sebelum ini melaporkan King Sing menyifatkan tindakan penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL sebagai tindak balas emosi dan melampaui batas sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelancong.

Menerusi kenyatan dalam laman Facebook beliau pada Ahad, King Sing berkata, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

DBKL sebelum itu melancarkan operasi menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan Bahasa Melayu di beberapa kawasan, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.

Operasi itu membabitkan pasukan penguatkuasaan dan pelesenan DBKL, bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pihak polis, di bawah pematuhan Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

DBKL menegaskan, tindakan penguatkuasaan yang dijalankan itu bertujuan memastikan premis perniagaan mematuhi peraturan yang termaktub dalam peruntukan ditetapkan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Mengapa Malaysia dituduh rasis hanya kerana papan tanda bahasa kebangsaan?

Sebagai menteri King Sing boleh jawab mudah isu bahasa kepada pelancong – Puad

Anwar tegur golongan elit jangan taasub dengan bahasa Inggeris

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI