TAPAH – Pemuda MCA menggunakan pendekatan ‘serampang dua mata’ bagi mendekati pengundi muda berbangsa Cina sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, pendekatan tersebut merangkumi kaedah fizikal iaitu kempen dari rumah ke rumah, serta kaedah dalam talian melalui media sosial.
Katanya, meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan reaksi pengundi muda Cina yang berada di luar kawasan, pihaknya tetap berusaha memastikan mereka pulang ke kampung dan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Sabtu ini.
“Untuk kali ini agak susah kita nak cakap sebab kebanyakan pengundi muda Cina yang berada di luar daerah ini mereka tidak berada di sini ketika kita berkempen dan menyantuni pengundi.
“Namun, apa yang dapat kita lakukan adalah secara berterusan menguar-uarkan dan mengajak mereka pulang dan memberi undi kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak pada Perlawanan Persahabatan Bola Sepak antara Pilihan Pemuda UMNO Tapah dan Pilihan Ex Perak di Stadium Mini Tapah Tun Ahmad Sarji, dekat sini, pada Khamis.
Dalam pada itu Choo Seong berkata,Pemuda MCA telah menyusun strategi bagi membantu BN memaksimumkan sokongan dalam kalangan 31 peratus pengundi Cina di Ayer Kuning.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN mengakui suasana PRK berbeza berbanding Pilihan Raya Umum, namun beliau yakin gerak kerja yang dilaksanakan mampu mendorong lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab.
Ujar beliau, Fokus utama Pemuda MCA adalah untuk memastikan pengundi Cina khususnya golongan muda memilih calon BN yang diyakini mampu menjaga kebajikan serta membawa pembangunan ke kawasan tersebut.
“Ramai pengundi Cina di Ayer Kuning berusia sekitar 40 tahun ke atas, manakala pengundi muda kebanyakannya merantau ke tempat lain seperti Ipoh dan Selangor.
“Walaupun kami tidak mahu terlalu yakin, kami menjangkakan kira-kira separuh daripada pengundi muda Cina akan pulang mengundi.
“Setakat ini, reaksi daripada pengundi yang kami temui di lapangan amat positif. Kami yakin sokongan ini akan membantu menyumbang kepada kemenangan calon BN,” katanya.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN yang diwakili Dr Mohamad Yusri Bakir atau lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri; calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini.
Berdasarkan Daftar Pemilih SPR pada 2022, DUN Ayer Kuning memiliki seramai 31,940 pengundi dengan Melayu (55.64 peratus), Cina (21.99 peratus), India (14.30 peratus) dan Lain-lain (8.07 peratus).
Daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar itu, seramai 15,020 daripadanya berusia antara 18 hingga 39 tahun.- MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: MIC giat dekati pengundi kelabu kalangan komuniti India