KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar digesa menggunakan kedudukannya untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Gesaan itu dibuat oleh Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin yang berpendapat gesaan itu sejajar dengan pendirian Nurul Izzah sebelum ini yang sering melaungkan agenda reformasi institusi termasuk mendesak perubahan dalam kepimpinan SPRM.
“Sebagai anak Perdana Menteri dan pemimpin kanan kerajaan, Nurul Izzah berada dalam kedudukan strategik untuk menyuarakan reformasi dari dalam.
“Beliau perlu membuktikan semangat reformasi yang dilaungkan bukan hanya retorik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Hanif, kegagalan mengambil pendirian tegas dalam isu tersebut boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap komitmen kerajaan terhadap integriti dan usaha membanteras rasuah.
“Konsistensi antara kata-kata dan tindakan adalah ukuran sebenar komitmen, bukan sekadar gelaran ‘Puteri Reformasi’ yang hanya tinggal nama,” ujarnya.
Beliau merujuk kepada keputusan Perdana Menteri yang menyambung kontrak Azam Baki selama setahun meskipun wujud kontroversi berkaitan pemilikan saham dalam dua syarikat tersenarai awam.
Meskipun Azam menafikan sebarang salah laku, pelbagai pihak termasuk kumpulan pemantau dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan pernah menuntut siasatan lanjut terhadap isu berkenaan.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda Pas menyeru agar Nurul Izzah tidak berdiam diri dan sebaliknya tampil memperjuangkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti seperti yang sering dilaungkannya sebelum ini.
Pada 10 Mei lalu, Nurul Izzah lantang mengkritik pelantikan semula Azam Baki yang kini memasuki penggal ketiga sebagai peneraju SPRM, dengan menyifatkan keputusan berkenaan sebagai tidak wajar. – MalaysiaGazette