KUALA LUMPUR – Penarikan subsidi ayam pada November 2023 adalah strategi yang berjaya membanteras kartel ayam, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh.
Ujarnya, usaha itu membuktikan bekalan dan harga ayam stabil sehingga hari ini berbanding keika subsidi masih dilaksanakan.
“Apabila kita menarik subsidi ayam pada 1 November 2023, sebelum itu kita ada masalah dengan harga ayam di mana (walaupun) kita ada harga kawalan RM9.40 dan subsidi tapi kita sukar harganya sehingga peniaga terpaksa kenakan bayaran untuk potong ayam.
“Jadi, apa yang kita lakukan sebagai satu strategi adalah membanteras kartel makanan ayam di mana 70 peratus kos pengeluaran ayam adalah daripada makanan ayam. Jadi apabila kita banteras itu kita dapat kawal kos pengeluaran ayam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas Fuziah, meskipun subsidi ditamatkan namun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak dua tahun lalu melakukan memantau perkembangan harga ayam setiap hari.
Usaha yang sama juga dilakukan dalam usaha memastikan harga telur dalam negara stabil.
“Tidak ada subsidi tapi kita kawal bekalan dan sepanjang rantaiannya dan kita periksa setiap hari dan kita tengok hari ini, Harga ayam stabil, ada yang lebih rendah.
“Begitu juga subsidi telur ditarik tidak ada masalah bekalan dan harga. KPDN memang ada punca kuasa untuk meneliti sepanjang rantaian bekalan harga di setiap peringkatnya hingga ke peruncitan,” tambahnya.
Terdahulu Dr Muhammed Taufiq Johari (Sungai Petani-PH) bertanyakan mengenai mekanisme pemantauan dan pelaporan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi memastikan semua intervensi kos sara hidup ini benar-benar memberi implak kepada pengguna.- MalaysiaGazette